KUALA LUMPUR 1 Sept - Sektor frekuensi radio dijangka meningkat sederhana pada separuh kedua tahun ini dengan pelancaran model telefon pintar baharu yang didayakan 5G pada September 2023, kata AmInvestment Bank Research.
Firma penyelidikan itu berkata Inari juga menjangkakan untuk meningkatkan kadar penggunaannya melebihi 85% dalam suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 iaitu 1QFY24 dan 2QFY24 berbanding 65% dalam 4QFY23.
“Kami meramalkan pertumbuhan berterusan dalam segmen ini, didorong oleh peningkatan kandungan termaju dan kerumitan teknologi yang diperlukan oleh generasi baharu peranti telefon pintar 5G dan seterusnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, sumbangan segmen komunikiasi data kumpulan itu dijangka disokong oleh pertumbuhan permintaan yang berterusan untuk ‘transceiver’ optik gentian, yang merupakan komponen utama peralatan rangkaian optik di pusat data.
Menurut AmInvestment, segmen tersebut telah meningkat dua mata peratusan tahun ke tahun kepada 15% pada FY23 disebabkan keperluan yang muncul untuk platform kecerdasan buatan (AI) yang diperlukan oleh pusat data untuk kelajuan lebih tinggi dan keupayaan lanjutan.
Firma itu berkata, Inari kini sedang mengusahakan produk baharu, pembungkusan fotonik silikon untuk pusat data, membolehkan tahap penyepaduan dan pengecilan yang lebih tinggi, yang boleh membawa kepada penggunaan kuasa dan kos yang lebih rendah.
Bagi segmen automotif pula, firma tersebut berkata Inari memberi petunjuk bahawa dijangka mempunyai volum pemuatan yang lebih tinggi menjelang suku keempat tahun ini.
“Inari juga telah memulakan pengeluaran cip memori, meningkatkan kepakaran pembungkusan termajunya pada masa hadapan. Pengurusan menjangkakan produk ini menjana RM100 juta pada FY24, yang sudah termasuk andaian jualan FY24 kami,” tambahnya.
Di samping itu, Inari sedang dalam perbincangan dengan empat pelanggan strategik yang terlibat dalam automotif, jam tangan pintar, ‘transceiver’ optik untuk pusat data dan mesin pemeriksaan optik automatik (AOI), yang dijangka bawa sumbangan sulung pada 2024 dan seterusnya.
Kumpulan itu juga sedang mengembangkan operasinya dengan pembinaan Blok D yang dijangka siap Februari tahun depan, menambah ruang lantai berhampiran P34 (disasarkan mula dibina dalam Februari 2024) dan merancang untuk membina CK3 di Filipina.
Sementara itu, anak syarikatnya, YiWu Semiconductor International Corp (YSIC) juga telah menyiapkan kilang baharu pada Julai 2023 dan dijangka memperoleh kelayakan audit pelanggan menjelang September 2023.
AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) RM3.53 sesaham.
Saham Inari turun 3 sen atau 1% kepada RM3.12 pada waktu penulisan, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM11.7 bilion. - DagangNews.com








