Prospek pertumbuhan Focus Point kukuh disokong perniagaan F&B, cermin mata – TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pertumbuhan Focus Point kukuh disokong perniagaan F&B, cermin mata – TA Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - TA Research tetap yakin dengan prospek pertumbuhan Focus Point Holdings Berhad yang disokong sumbangan lebih tinggi daripada segmen makanan dan minuman (F&B), pelancaran jenama yogurt beku baharu, pengembangan kedai optik baharu dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat peruncit cermin mata dan pengendali kedai makanan dan minuman (F&B) tersebut menyasarkan untuk membuka 10 hingga 12 cawangan optik pada 2024 bagi memanfaatkan lebih banyak bahagian pasaran daripada pesaing kecil menerusi program Focus Point Sightsavers

 

“Memandangkan orang ramai menghabiskan lebih banyak masa pada gajet dan kelaziman rabun di kalangan rakyat Malaysia, kami percaya perniagaan cermin mata akan kekal berdaya tahan.

 

“Selain itu, pertumbuhan dalam jualan runcit akan disokong oleh aktiviti pemasaran dan kesedaran seperti jerayawara Hari Penglihatan Sedunia dan kempen 360° Advanced Primary Eye Care,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, TA Research berkata peningkatan dalam ketibaan pelancong dijangka meningkatkan jualan pusat penjagaan mata dan kedai makanannya.

 

Menurut firma itu, Focus Point mempunyai kira-kira 20 cawangan di Johor yang akan mendapat manfaat daripada pelancong Singapura, selain cawangan di kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC, TRX, Genting Premium Outlets dan Design Village di Pulau Pinang.

 

“Pengurusan telah menetapkan sasarannya untuk mencapai pertumbuhan sekitar 10% dalam jualan optik untuk 2024,” tambahnya,

 

Bagi perniagaan F&B pula, TA Research berkata kumpulan itu menceburi industri pada 2012 dan kini mempunyai 12 cawangan kedai roti Jepun premium, Komugi yang menyumbang kepada 46% daripada jualan segmen ini.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk membuka dua hingga tiga cawangan baharu Komugi di Lembah Klang dan berhasrat untuk mendapatkan pelanggan korporat baharu.

 

Focus Point turut akan melancarkan konsep jenama baharu, projek perintis yang memberi tumpuan kepada yogurt sejuk beku dengan cawangan pertama dibuka di Mid Valley Megamall pada suku pertama tahun ini.

 

“Secara keseluruhan, kami positif terhadap usaha bersepadu syarikat dalam memacu sumbangan F&B, yang diunjur berkembang kepada kira-kira 25% (daripada 16% pada masa ini) dalam tempoh dua tahun akan datang,” ulasnya.

 

Oleh itu, TA Research mengekalkan unjuran pendapatan Focus Point bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham.

 

Pada pukul 12:19 tengah hari ini, saham kumpulan telah menokok 1.5 sen atau 2.1% dengan permodalan pasarannya bernilai RM337.3 juta. - DagangNews.com