Prospek Mi Technovation bercampur-campur bagi FY22, CGS-CIMB kurangkan harga sasaran kepada RM2.20 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Mi Technovation bercampur-campur bagi FY22, CGS-CIMB kurangkan harga sasaran kepada RM2.20

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Mei - CGS-CIMB Research mengurangkan harga sasaran Mi Technovation Bhd. kepada RM2.20 daripada RM3.50 sebelum ini, dengan mengekalkan saranan 'tambah'. 

 

Ini berikutan prestasi kewangannya bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 tersasar daripada jangkaan firma tersebut dan juga konsensus Bloomberg, masing-masing pada 15% dan 19% disebabkan untung bersih bagi tahun kewangan 2022 (FY22) yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, kumpulan menjangkakan prospek yang bercampur-campur bagi unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) dan unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) pada suku akan datang. 

 

Katanya, Mi Technovation melihat prospek yang mencabar untuk SEBU berikutan perbelanjaan peralatan yang berhati-hati daripada pelanggannya di tengah-tengah ketidakpastian yang disebabkan perkembangan terkini seperti konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, sekatan pergerakan di China bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan tekanan kos inflasi.

 

"Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan permintaan yang kukuh dalam SMBU, didorong pertumbuhan berbilang tahun dalam penggunaan mudah alih dan rangkaian 5G, pengkomputeran berprestasi tinggi dan internet segala-galanya (IoT) walaupun terdapat sekatan dan kelewatan di China bagi pengkomersialan loji Ningbo.

 

"Oleh itu, secara keseluruhan, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 15 hingga 18%.

 

"Semakan semula ini dibuat selepas mengambil kira penghantaran peralatan yang lebih rendah dan juga penangguhan pengkomersialan loji Ningbo daripada separuh pertama kepada separuh kedua 2022," jelasnya.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, hasil Mi Technovation melonjak 64% tahun ke tahun susulan penggabungan Accurus di bawah SMBU setelah melengkapkan pengambilalihannya pada April 2021.

 

Jualan lebih tinggi menerusi SMBU telah membantu mengimbangi sumbang SEBU yang lemah, susut 17.6% tahun ke tahun.

 

Jualan SEBU yang lebih rendah itu disebabkan kelembapan permintaan China dengan berakhirnya kitaran pembelian peralatan semikonduktor pada 2021 dan permulaan yang perlahan di pasaran Amerika Syarikat (AS).

 

Secara keseluruhan, untung bersih teras kumpulan susut 10.5% tahun ke tahun.

 

Namun, menurut Mohd Shanaz, Mi Technovation masih memiliki kelebihan, terutama aspirasi jangka panjangnya untuk muncul sebagai penyedia kepelbagaian penyelesaian semikonduktor multinasional.

 

Katanya, kumpulan merancang untuk menubuhkan unit perniagaan ketiga dan keempatnya di bawah fasa kedua pelan hala tuju 10 tahunnya (2019-2028) sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya untuk menjadi penyedia penyelesaian semikonduktor dan komersial.

 

"Bagi unit perniagaan ketiganya, kumpulan menyasarkan untuk membangunkan platform teknologi pembungkusan berteknologi baharu dan proses pembuatan dengan memanfaatkan kepakarannya dalam perniagaan bahan dan peralatan semikonduktor.

 

"Sementara itu, bagi unit perniagaan keempat pula, kumpulan bercadang untuk meneroka pembangunan produk elektronik komersial untuk isi rumah dengan meningkatkan kandungan dan ciri-ciri teknologi," tambahnya.

 

Setakat 10.57 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.11% kepada RM1.78 dengan 795,300 saham diniagakan. - DagangNews.com