KUALA LUMPUR 30 Okt - CTOS Digital Berhad dijangka menyaksikan lebih banyak aktiviti dalam suku keempat tahun ini (4Q23) berbanding separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) yang perlahan, menyokong jangkaan keuntungan kumpulan.
Kenanga Research berkata ini akan disokong oleh pengambilalihan di Filipina dan Indonesia baru-baru ini pada masa hadapan, di samping lanjutan pengecualian cukainya selama lima tahun sehingga 4QFY26.
Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan keuntungan bersih CTOS dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM75.5 juta, yang meningkat 13% merangkumi unjuran tahun penuhnya dan konsensus masing-masing pada 76% dan 72%.
“Dividen interim ketiga sebanyak 0.63 sen telah diisytiharkan (bayaran kira-kira60%) dan dianggap dalam jangkaan pembayaran tahun penuh kami sebanyak 2.61 sen (juga pembayaran kira-kira 60%),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas lanjut prospek CTOS, firma itu berkata pengambilalihan Finscore, Filipina dan Prime Analytics, Indonesia akan membuka ruang baharu untuk kumpulan itu memperbesar jejak penilaian kreditnya.
Jelasnya, perkara tersebut akan menggalakkan usaha utama kumpulan untuk meningkatkan rumusan data alternatif yang bergantung kepada telco, e-dagang, e-dompet, utiliti dan data media sosial sebagai alternatif kredit.
“Sementara itu, kumpulan terbabit akhirnya memperoleh lanjutan pelepasan cukainya untuk status perintis bagi tempoh lima tahun sehingga 8 November 2026.
“Menjangkakan momentum berterusan daripada portfolio produk sedia ada, kumpulan itu percaya ia boleh memberikan keuntungan selepas cukai yang kembali normal sebanyak RM100 juta hingga RM105 juta untuk FY23, RM127 juta hingga RM135 juta pada FY24 dan RM150 hingga RM160 juta dalam FY25,” katanya.
Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan FY23/24 dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.85 sesaham daripada RM1.80 berikutan pelarasan kadar bebas risiko kepada 4% berbanding 4.5% sebelumnya.
“Kami terus menyukai CTOS kerana kami melihat merit dalam (i) kehadiran utama dalam pelaporan kredit (kira-kira 80% bahagian pasaran domestik), (ii) keuntungan sinergi untuk menjadi nyata secara progresif, dan (iii) operasi berskala untuk penembusan serantau pada masa hadapan,” tambahnya.
Pada pukul 11:46 pagi ini, saham CTOS kekal pada RM1.44 dengan permodalan pasarannya bernilai RM3.3 bilion. - DagangNews.com








