Prolintas Infra BT dibuka tidak berubah 95 sen pada penampilan sulung di Pasaran Utama | DagangNews Skip to main content

Prolintas Infra BT dibuka tidak berubah 95 sen pada penampilan sulung di Pasaran Utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini dengan harga tidak berubah pada 95 sen sesaham sama harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pada pasaran pagi, kumpulan itu mencatatkan dagangan pembukaan berjumlah 2.4 juta saham.

 

Berdasarkan jumlah unit terbitan Prolintas Infra sebanyak 1.1 bilion, saham itu disenaraikan dengan permodalan pasaran kira-kira RM1.05 bilion.

 

Bagaimanapun, dagangan saham kumpulan itu meningkat sebanyak 4.2% dan mencapai dagangan intrahari tertinggi pada 99 sen dengan lebih 34.8 juta unit didagangkan pada separuh pertama sesi dagangan. 

 

Pengerusi Prolintas Managers Sdn Bhd, Datuk Ikmal Hijaz Hashim berbangga dengan pencapaian syarikat menerusi penyenaraian itu dan ia akan merekodkan pencapaian bersejarah dalam industri infrastruktur lebuh raya.

 

"Kami yakin IPO ini membolehkan Prolintas Infra untuk menjalankan inisiatif infrastruktur strategik di masa hadapan. 

 

"Kami terus komited dalam menyediakan perjalanan yang selamat, selesa dan memperkasa pengalaman pengguna dalam kalangan semua pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Berdasarkan polisi agihan, mereka bercadang untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agih kepada pemegang unitnya secara tahunan. Secara khusus, sasaran adalah untuk mengagihkan sejumlah RM70 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Prolintas Infra BT merangkumi empat lebuh raya matang dan berdaya saing tinggi iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK), yang menjana aliran tunai yang signifikan (iaitu hasil tol) dengan purata baki tempoh konsesi selama kira-kira 32 tahun. 

 

Lebuh raya-lebuh raya berkenaan memanfaatkan hampir setengah juta pengguna jalan raya setiap hari, mencerminkan kepentingannya dalam merangsang ekonomi negara dan pembangunan sosial. - DagangNews.com