Projek HSR KL-Singapura masih dalam perbincangan peringkat awal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek HSR KL-Singapura masih dalam perbincangan peringkat awal

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Kemungkinan untuk menghidupkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur-Singapura (HSR) ini masih dalam perbincangan peringkat awal. 

 

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu sama ada kos projek boleh dikurangkan kepada RM50 bilion daripada RM100 bilion adalah tidak berbangkit.

 

Jelasnya, mengikut anggaran yang telah dibuat oleh Malaysia, di bawah model yang dicadangkan iaitu HSR 2.0 (Baharu), kos projek adalah jauh lebih rendah dengan kos cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0. 

 

"Di bawah model HSR 2.0 yang dikemukakan kepada pihak Singapura, Malaysia telah mencadangkan supaya AssetCo dimansuhkan. Cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak Singapura.

 

"Dengan itu, perjanjian Bilateral yang ditandatangani pada 13 Disember 2016 telah terbatal," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau bekata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng  mengenai projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatalkan dan diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, serta anggaran kos kedua-dua projek sama ada dapat memastikan harga asalnya sebanyak RM100 billion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion. 

 

AssetCo adalah syarikat yang dimiliki oleh pihak swasta dan dikawal selia bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura yang berfungsi sebagai pemilik sistem dan aset keretapi yang bertanggungjawab untuk membina, membiayai, dan menyelenggara sistem dan aset keretapi serta melaksanakan perolehan dan penyelenggaraan stokereta. 

 

Mustapa berkata, pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses memindahkan syarikat MyHSR, syarikat bertujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan. 

 

"Oleh demikian, kesemua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan," katanya. - DagangNews.com