Produk sawit Malaysia bebas daripada penebangan hutan - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Produk sawit Malaysia bebas daripada penebangan hutan - MPOB

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bimbang dengan persetujuan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi, koko, dan kayu-kayan.

 

Menurut kenyataan di laman web Suruhanjaya Eropah (EC), EU mencapai persetujuan pada 6 Disember 2022 untuk mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi, koko, dan kayu-kayan yang telah dikenal pasti sebagai 'pemacu penebangan hutan' jika pengeluarannya mengakibatkan penebangan hutan dan degradasi hutan selepas 31 Disember 2020.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Malaysia komited mengeluarkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang telah dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Januari 2020. 

 

Beliau berkata, pembangunan industri sawit Malaysia juga dikawal oleh lebih 60 peraturan dan undang-undang, menjadikannya industri paling dikawal selia di Malaysia.

 

"Selain itu, Malaysia juga komited terhadap pemuliharaan hutan dan biodiversiti hutan hujan tropika dan masih mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasannya di bawah litupan hutan seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ahmad Parveez berkata, peraturan EU hanya menyasarkan penanaman komoditi daripada ekonomi membangun sebagai cabaran utama dalam melindungi alam sekitar global.

 

“Implikasi bagi industri sawit diandaikan daripada keperluan untuk membuat penilaian wajar yang akan menambah beban pentadbiran dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang dikeluarkan dalam negara mereka. 

 

"Terdapat diskriminasi di sini kerana tanaman lain seperti biji sesawi dan bunga matahari tidak menjadi sasaran. Selain itu, pekebun kecil mungkin bergelut untuk mematuhi dan dikecualikan daripada pasaran EU,” katanya.

 

Beliau berkata, penglibatan industri sawit Malaysia dalam penebangan hutan adalah sangat rendah berikutan pelaksanaan ketat peraturan dan undang-undang di Malaysia.

 

"Ini perlu diiktiraf oleh EU. Berdasarkan tafsiran, minyak sawit dan produknya yang dihasilkan daripada ladang sawit sedia ada sebelum 1 Januari 2021 dianggap bebas penebangan hutan," katanya.

 

Katanya, Malaysia tidak membenarkan penebangan hutan untuk penanaman sawit, selain EU mesti mengiktiraf produk berdasarkan negara asal dan bukan secara global seperti yang dilakukan untuk biofuel sawit.

 

Tambahnya, Malaysia juga komited sepenuhnya untuk menjalankan kerjasama dan rundingan dua hala yang membina bagi memastikan tiada diskriminasi dalam pengendalian perdagangan antarabangsa untuk akses pasaran produk Malaysia di pasaran EU. - DagangNews.com