Produk-produk ‘Bumi Kenyalang’ tembusi pasaran Timur Tengah menerusi SMART Community USM | DagangNews Skip to main content

Produk-produk ‘Bumi Kenyalang’ tembusi pasaran Timur Tengah menerusi SMART Community USM

Gula apong yang turut dijual di Arab Saudi.
Oleh Siti Fatimah Huzaidi

KUCHING 15 Mac – Produk daripada Sarawak seperti madu kelulut, lada, gula apong, ikan terubuk masin dan telurnya kini menembusi serta memenuhi permintaan pasaran Timur Tengah.

 

Program Kemampanan Pemasaran bagi Komuniti atau SMART Community yang dikelolakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuat penghantaran kontena yang berisi produk-produk tersebut secara rasmi dari Sarawak ke Jeddah, Arab Saudi.

 

Ketua program SMART Community, Syed Yusof Syed Kechik berkata, produk Sarawak memiliki keaslian dan keunikannya tersendiri yang perlu diketengahkan kepada dunia.

 

“Bagi menembusi pasaran Timur Tengah, program ini memilih sebuah entiti perniagaan runcit, Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd sebagai rakan kolaboratif antarabangsa di sana.

 

“Bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal di Jeddah dan Mekah, Kedai Asia turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar pertama milikan anak Malaysia dibawa jenama yang sama.


 

kedai asia
Kedai Asia di Jeddah, Arab Saudi.

 

 

“Oleh itu, pemilihan rakan kolaboratif antarabangsa bagi pasaran Arab Saudi ini didapati amatlah bersesuaian dengan konteks dan matlamat yang cuba dicapai oleh program ini,” katanya.

 

Kenyataan beliau dikeluarkan oleh Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

 

Syed Yusof berkata, pemasaran produk-produk ke kawasan Timur Tengah itu memberi manfaat kepada lebih daripada 233 orang usahawan bumiputera yang status berpendapatan rendah (B40) di Sarawak.

 

“Berdasarkan rentak perjalanan semasa juga, kita menjangkakan sebanyak 1.2 juta nilai eksport pada tahun hadapan melalui usaha-usaha untuk membawa produk Sarawak ke pasaran global oleh program SMART Community,” tambahnya.

 

Program SMART Community adalah inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melalui USM untuk membantu dan memperkasa komuniti luar bandar yang mengusahakan pengeluaran produk tempatan melalui pemindahan ilmu, teknologi, penyelidikan dan penambahbaikan secara inklusif. – DagangNews.com