KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini gagal memulihkan keyakinan bahawa kestabilan politik Malaysia kembali pulih dan akan menyebabkan kegusaran pelabur sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata TA Securities.
Dalam tempoh interim, firma penyelidikan itu berkata keberkesanan dasar kerajaan akan dipantau dengan teliti sementara mengukur perubahan sokongan popularnya.
Menurut firma itu, kemenangan besar PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang sebelum ini dipegang oleh kerajaan perpaduan, adalah di luar jangkaan dan boleh memperlahankan sentimen bagi ekuiti tempatan berikutan populariti fundamentalisme kian meningkat, yang boleh menggoyahkan prinsip asas penubuhan negara ini.
Tambahnya, keputusan itu menghimpit kerajaan perpaduan untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, terutamanya orang Melayu, sambil menghalang keupayaannya untuk bebas melaksanakan langkah-langkah bukan populis yang dianggap penting untuk meningkatkan kewangan negara dan daya saing jangka panjang.
“Kita mungkin menyaksikan pembetulan jangka masa segera dalam FBM KLCI minggu ini berikutan tamatnya pilihan raya enam negeri Sabtu lalu, yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan mengenai hala tuju masa depan negara.
“Oleh itu, sektor yang agak defensif seperti pengguna, utiliti dan penjagaan kesihatan mungkin berada di bawah radar pelaburan minggu ini.
“Namun, sentimen boleh bertambah baik kelak, apabila kerajaan mendedahkan lebih banyak butiran rancangan jangka pendek dan jangka panjangnya, serta melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan aktiviti domestik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Research mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.2% untuk 2023 memandangkan sektor luar semakin lemah, namun menjangkakan daya tarikan yang baik dalam pertumbuhan tahun depan antara 4.5% dan 5.5%.
Dengan berakhirnya PRN, firma tersebut berkata tumpuan akan beralih kepada tiga acara utama dalam separuh kedua tahun ini, iaitu kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Bajet 2024.
Firma itu berkata dasar dan inisiatif strategik di bawah rancangan jangka pendek dan jangka panjang berkenaan harus seiring dengan bidang tumpuan rangka kerja Ekonomi Madani.
“Kami mengekalkan sasaran FBM KLCI sehingga akhir 2023 kami pada 1,515 berdasarkan nisbah harga-pendapatan (PER) 2024 sebanyak 13 kali, berlatarbelakangkan kemungkinan pengakhiran kitaran kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan kebimbangan yang semakin meningkat tentang kegusaran deflasi di China,” katanya. - DagangNews.com








