KUALA LUMPUR 8 Sept - Pusat Perubatan Prince Court merangkul anugerah emas menerusi kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) "Menyambung Harapan, Mengubah Kehidupan: Merapatkan Jurang Penjagaan Kanser" pada majlis Anugerah Pengurusan Hospital Asia (HMA) 2023, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court, Cindy Choe berkata, anugerah itu menyerlahkan jalinan kerjasama antara hospital swasta dan awam dalam menyediakan akses saksama untuk penjagaan kanser terutamanya kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
"Saya berharap kisah kejayaan kami akan menggalakkan lebih ramai orang untuk memulakan perjalanan yang sama, bekerjasama untuk mengubah penjagaan kanser dan memastikan tiada siapa ketinggalan dalam menerima rawatan yang menyelamatkan nyawa," katanya dalam kenyataan media di sini.
Disebabkan bilangan pesakit kanser yang tinggi di hospital awam, Prince Court telah mengorak langkah menjalin kerjasama dengan sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur untuk menyediakan 820 sesi radioterapi percuma kepada kumpulan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan.
Kerjasama antara hospital swasta dan awam membuahkan hasil kerana usaha ini telah meningkatkan kebolehcapaian, mengurangkan masa menunggu dan menyediakan pesakit dengan rawatan kanser yang menyelamatkan nyawa.
Sejak program itu dimulakan pada Mac 2023, Prince Court menyediakan lebih 820 sesi radioterapi dan seterusnya merancang untuk memberikan rawatan kanser bernilai lebih RM 1 juta pada tahun ini.
Dilancarkan pada 2002, Anugerah HMA meraikan kecemerlangan dalam pengurusan hospital Asia.
Anugerah ini menyerlahkan dedikasi Prince Court dalam meringankan beban penjagaan kanser dalam komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di Malaysia. - DagangNews.com








