Prestasi Q1 tersasar daripada jangkaan, Kenanga Research semak turun TP Malakoff kepada 98 sen | DagangNews Skip to main content

Prestasi Q1 tersasar daripada jangkaan, Kenanga Research semak turun TP Malakoff kepada 98 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Mei - Malakoff Corp Bhd. dijangka merekodkan hasil yang lebih stabil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) selepas kerja-kerja baik pulih Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) selesai pada 14 Februari lalu, menurut Kenanga Research.

 

Pada masa sama, ia juga didorong prestasi anak syarikatnya, Alam Flora Sdn. Bhd. yang semakin bertambah baik sejak awal 2020. 

 

"Kesemua ini dapat menghasilkan pendapatan Malakoff yang stabil, dan menjadikan pembayaran dividennya lebih mampan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, firma itu menyifatkan kumpulan merekodkan satu lagi suku kewangan yang mengecewakan apabila tersasar daripada jangkaannya. 

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersihnya merosot 15.82% kepada RM50.88 juta berbanding RM60.44 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan aktiviti gangguan berterusan yang tidak dirancang di TBE.

 

Pendapatan pada suku berkenaan sebaliknya meningkat 39.42% kepada RM1.88 bilion, daripada RM1.35 bilion. 

 

Peningkatan itu terutamanya disebabkan pembayaran tenaga yang lebih tinggi yang direkodkan daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. dan TBE, dengan mengambil kira harga arang terpakai yang lebih tinggi dalam tempoh berkenaan.

 

"Dengan mengambil kira prestasi kewangan suku pertama itu, pelarasan gangguan di TBE, kepentingan minoriti yang lebih tinggi dan data sebenar FY21 terkini yang dikemas kini, kami mengurangkan hasil bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 7% dan 2%.

 

"Dividen pula diselaraskan secara berkadar berdasarkan pembayaran tidak berubah sebanyak 80%," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research bagaimanapun mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Malakoff, dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 98 sen berbanding RM1.01 sebelum ini.

 

Setakat 10.48 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 62.5 sen sesaham dengan 1.2 juta saham diniagakan. - DagangNews.com