KUALA LUMPUR 10 Ogos - Prestasi MR D.I.Y. Group Berhad (MR DIY) pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) dalam jangkaan, menurut Kenanga Research yang turut menyatakan bahawa margin kumpulan kian pulih walaupun hasil jualan sederhana.
Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih kumpulan tersebut pada 1HFY23 merangkumi 47% dan 49% daripada unjuran setahun penuhnya dan konsensus.
Firma berkenaan berkata MR DIY menyemak semula sasaran margin untung kasar kepada 45% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), daripada 43% sehingga 44% sebelum ini, disebabkan caj pengangkutan kembali normal.
BACA: Untung bersih MR DIY meningkat 11% kepada RM150 juta bagi 2QFY23, isytihar dividen 0.8 sen
Selain itu, kumpulan itu mengekalkan sasaran penambahan 180 kedai pada FY23, sejajar dengan andaian firma tersebut.
“Disebabkan oleh peningkatan dalam bilangan kedai, jumlah urus niaga meningkat sebanyak 15% kepada 79 juta walaupun purata urus niaga setiap kedai bagi sehari turun 2% kepada 381. Pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) jatuh sebanyak 8% kepada 2 juta (berdasarkan anggaran kami).
“Keuntungan kasar meningkat sebanyak 24% lebih kukuh disebabkan pelonggaran caj pengangkutan dan kenaikan harga pada FY22 tetapi EBIT meningkat dengan kadar perlahan (17%) disebabkan peningkatan kos kakitangan berikutan ambang gaji minimum yang ditingkatkan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research berkata ia menyukai MR DIY kerana: (i) kedudukan utamanya dalam pasaran pembaikan rumah di Malaysia; (ii) margin kasarnya kukuh (lebih 40% berbanding rakan setara sebanyak 32%) memandangkan kedudukan tawar-menawarnya kukuh berbanding pembekal dan skala ekonomi yang timbul daripada saiznya, (iii) keupayaan untuk memperkenalkan unit penyimpanan stok (SKU) baharu dengan lebih cepat bergantung kepada keutamaan pengguna, dan (iv) kunci kira-kira kukuh menandakan pengembangan atau dividen yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, dengan tekanan inflasi yang akan berlaku dan pembukaan semula perniagaan, jualan akan mencabar kerana pengguna B40 akan mempunyai alternatif yang lebih luas dan lebih murah untuk barangan dijual oleh MR DIY manakala mereka daripada kumpulan M40 dengan kunci kira-kira lebih sihat akan mempunyai rangkaian pilihan yang lebih baik memandangkan ekonomi telah dibuka semula sepenuhnya.
Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan disebabkan semakan menaik dalam andaian margin kasar sebanyak 2 mata kepada 45% untuk FY23-24 diimbangi oleh pengurangan dalam andaian SSSG pada FY23F kepada -7% (daripada -2% sebelumnya).
Firma itu juga mengekalkan andaian lain seperti: (i) 180 kedai baharu untuk kedua-dua tahun, (ii) saiz bakul RM27 dan RM26; dan (iii) SSSG sebanyak -4% untuk FY24.
Firma itu menaikkan taraf saranan kepada ‘outperform’ dengan mengekalkan harga sasaran (TP) RM1.67 sesaham disebabkan nilai saham MR DIY telah muncul susulan kelemahan harga sahamnya baru-baru ini.
Pada waktu penulisan, saham MR DIY menokok 9 sen atau 6.3% kepada RM1.52 dengan permodalan pasaran sebanyak RM14.3 bilion. - DagangNews.com








