KUALA LUMPUR 14 Ogos - Prestasi Mi Technovation Berhad dijangka lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini berikutan pemulihan dalam permintaan yang diterajui oleh pelancaran produk baharu.
Walaupun keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) kumpulan tersebut lebih lemah daripada jangkaan, Public Investment Bank (PublicInvest) berkata anggaran pendapatan Mi Technovation dikekalkan memandangkan firma itu menjangkakan untuk melihat peningkatan yang kukuh pada separuh kedua.
Mi Technovation mencatatkan pendapatan sebanyak RM15.1 juta pada 1HFY23, turun 26% YoY, justeru membentuk hanya 31% dan 25% daripada unjuran tahun penuh firma penyelidikan itu dan konsensus, masing-masing.
“Dari segi positif, keputusan suku kedua bertambah baik sebanyak 39% suku ke suku, menandakan menunjukkan bahawa cabaran mungkin telah berakhir untuk industri semikonduktor,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
BACA JUGA: Untung bersih Mi Technovation meningkat kepada RM21.8 juta pada 2QFY23
Menurut firma itu, Mi Technovation memberi tumpuan kepada segmen mobiliti dan boleh pakai, automotif, serta pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).
Walaupun perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) kumpulan tersebut terus menyaksikan pelanggannya berhati-hati berbelanja, produk baharu dijangka meningkatkan jualannya.
“Mesin pembungkusan dan pemeriksaan penglihatan termaju didayakan kecerdasan buatan (AI) yang baharu dilancarkan untuk segmen mobiliti dan boleh pakai (telefon pintar, 5G dan IoE) dijangka meningkatkan jualan SEBU tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Advanced Multiple Bin Sorting dan teknologi Laser Bonding untuk segmen HPC kumpulan di Korea dijangka menyaksikan sumbangan jualan yang ketara apabila ia berjaya menghantar tempahan pembelian pertama.
Bagi unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU), PublicInvest berkata pihak pengurusan menjangkakan peningkatan ketara bagi jualan bola paterinya pada separuh kedua berbanding separuh pertama kerana kebanyakan pelanggan utamanya akan melancarkan produk baharu mereka.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM2.57 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Mi Technovation menokok 8 sen atau 5.2% kepada RM1.61 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.5 bilion. - DagangNews.com








