Powerwell terima dua kontrak lanjutan berjumlah RM9.78 juta bangunkan RTS Link Johor Bahru-Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Powerwell terima dua kontrak lanjutan berjumlah RM9.78 juta bangunkan RTS Link Johor Bahru-Singapura

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept - Syarikat rumusan elektrik, Powerwell Holdings Bhd menerima dua kontrak lanjutan bernilai RM9.78 juta bagi Pakej 2A projek Rapid Transit System Link (RTS) Johor Bahru-Singapura.

 

Menurut Powerwell, kontrak tersebut diberikan Raiden M&E Sdn Bhd adalah untuk pembangunan stesen RTS Link Bukit Chagar, termasuk kompleks imigresen, kastam dan kuarantin (ICQC) di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

 

"Kontrak ini merupakan perintah lanjutan berkaitan Pakej 4 (stesen dan pusat kawalan operasi) dan Pakej 6 (depoh dan bekalan kuasa) projek, merangkumi pemasangan kritikal di Depoh Wadi Hana dan stesen RTS Link Bukit Chagar.

 

"RTS Link yang dibina untuk menambah baik ketersambungan rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura sedang berjalan lancar dengan pembinaan telah mencapai lebih 65% siap di kedua-dua belah pihak setakat ini.

 

"Setelah siap, RTS Link akan mengurangkan kesesakan di Tambak dengan ketara, memberikan pengalaman perjalanan yang lancar untuk beribu-ribu penumpang setiap hari,"ujar Powerwell dalam kenyataan hari ini. 

 

Selain itu, penglibatan Powerwell dalam projek RTS Link itu menggariskan komitmennya untuk menyokong pembangunan infrastruktur utama yang meningkatkan kesalinghubungan serantau dan pertumbuhan ekonomi.

 

RTS Link yang akan memulakan operasinya menjelang akhir 2026, akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan aliran manusia dan barangan antara Malaysia dan Singapura, menjadikannya salah satu projek infrastruktur rentas sempadan yang paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara.

 

Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Powerwell Holdings Berhad, Soh Wei Wei, berkata, RTS Link Johor Bahru-Singapura mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura.

 

"Kontrak tersebut merupakan bukti reputasi Powerwell menyampaikan rumusan elektrik berkualiti tinggi bagi projek infrastruktur yang kompleks.

 

"Kami komited untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini dan menyumbang kepada operasi RTS Link," ujar beliau. 

 

Sementara itu, Powerwell mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian elektrik dengan rekod prestasi dalam penyampaian projek termasuk sektor pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengangkutan.- DagangNews.com