PM Anwar ucap tahniah kepada Qari Malaysia juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-63 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar ucap tahniah kepada Qari Malaysia juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-63

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (tengah). - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kepada Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M malam tadi.

 

Anwar juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang yang lain dalam majlis istimewa yang dengan pengurniaan hadiah daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

"Semoga majlis seperti ini bukan sahaja memuliakan Al-Quran, malah ianya dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kefahaman melalui mesej yang terkandung dalam Al-Quran," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Semalam, Muhammad Qayyim muncul juara bagi kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 dengan catatan markah sebanyak 94.96%.

 

Muhammad Qayyim, yang juga orang kurang upaya penglihatan sejak lahir bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari bacaan Al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada pertandingan tersebut.

 

Dia yang berasal dari Kelantan itu sebelum ini menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M. - DagangNews.com