PM Anwar yakin Gabenor BNM baharu, Shaik Abdul Rasheed mampu teruskan dasar monetari mampan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar yakin Gabenor BNM baharu, Shaik Abdul Rasheed mampu teruskan dasar monetari mampan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (kanan) di pejabatnya di Putrajaya pada 20 Jun 2023. - Gambar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour mampu meneruskan dasar monetari yang mampan dan stabil.

 

Anwar menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini berkata, ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.  

 

Shaik Abdul Rasheed bakal mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang akan menamatkan khidmat baktinya pada 30 Jun 2023.

 

"Hari ini saya telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara yang baharu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di pejabat. 

 

"Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.  

 

"Saya utus penghargaan buat Tan Sri Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi BNM terutamanya ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh wabak menyerang," katanya.

 

Tambah Anwar, beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada Gabenor yang baharu dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta. - DagangNews.com