PLS Plantations peroleh modal RM210 juta daripada MyFarm Jepun untuk penanaman durian di Pahang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLS Plantations peroleh modal RM210 juta daripada MyFarm Jepun untuk penanaman durian di Pahang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac - PLS Plantations Berhad telah memperoleh modal RM210 juta daripada syarikat pertanian bersepadu Jepun, MyFarm Inc untuk pelancaran projek 1,000 hektar penanaman durian di Raub, Pahang.

 

Menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat tersebut, ini merupakan pelaburan terbesar dalam ladang during oleh sebuah syarikat Jepun.

 

Pengerusi PLS Plantations, Tan Sri Nazir Razak berkata suntikan modal tersebut akan memudahkan pemindahan teknologi dan kepakaran Jepun dalam bidang pertanian di Malaysia di samping mengukuh pelaburan langsung asing (FDI) mereka kepada Malaysia.

 

“Ini adalah langkah pertama PLS menjadi syarikat agromakanan terkemuka negara, di mana perkongsian strategik selanjutnya akan dikenal pasti dan berkembang ke aktiviti perladangan lain seperti ladang hutan dan tanaman kontan,” tambahnya.

 

Selain itu, PLS juga akan mengenal pasti aktiviti pertanian dan akuakultur yang lain sebagai sebahagian daripada Peningkatan Keterjaminan Makanan Negara, satu inisiatif berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan.

 

PLS, melalui syarikat bersekutunya PLSLESB Sdn Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama bernilai RM429 juta dengan MyFarm dan unit MyFarm, Millennium Agriculture Technology Sdn Bhd (MAT) dan Akar Barat Jaya Sdn Bhd.

 

Di samping itu, Akar Barat telah memeterai perjanjian pengambilalihan dengan Dulai Fruits Enterprise Sdn Bhd untuk membeli semua durian keluarannya.

 

Dulai Fruits mempunyai perjanjian pengedaran eksklusif dengan China Oil and Foodstuffs Corp yang merupakan pemproses, pengilang dan peniaga makanan terbesar China.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyFarm, Kazuma Nishitsuji yakin dengan usaha tersebut memandangkan PLS mempunyai kedudukan selaku syarikat agromakanan mampan yang berpengalaman luas dalam perladangan dan komitmen untuk melaksanakan program sekuriti makanan.

 

“Kami percaya PLS sesuai untuk MYFARM kerana penanaman durian dan penanaman selingan adalah pelaburan mampan yang boleh mempercepatkan perkembangan pertanian kami di Malaysia dan rantau ini,” ulas beliau.

 

Menurut kenyataan mereka, MAT dan MyFarm dijangka melengkapkan tranche pertama pelaburan dalam usaha sama itu pada atau sebelum 30 April 2023, dengan lanjutan automatik selama 14 hari, di mana sebarang lanjutan selepas lanjutan pertama akan diberikan mengikut budi bicara mutlak PLS-LESB.

 

MAT/MyFarm mempunyai pilihan, boleh dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh siap projek untuk mengembangkan lagi projek sebanyak 1,000 hektar lagi dan tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui bersama. -DagangNews.com