IPOH 2 Ogos - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) akan memacu inisiatif transformasi di negeri ini selaras dengan pelan tindakan Perak Sejahtera 2030 melalui pembangunan hartanah strategik sebagai pemangkin kepada impak ekonomi dan mencipta pekerjaan.
Dalam satu kenyataan PKNPk berkata, ia akan menerajui pelan tindakan Perak Sejahtera 2030 melalui sembilan program perdana bernilai RM500 juta untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi.
Inisiatif tersebut merangkumi kegiatan perlombongan, program mesra pelabur, tenaga boleh diperbaharui, maritim dan pelabuhan serta pembangunan ekonomi digital.
Turut menjadi fokus ialah membantu kelompok yang terkesan, pembangunan program koridor pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional, pembangunan perumahan Perak Sejahtera dan pelancongan.

“Dalam memacu pembangunan Perak, PKNPk mengiktiraf keperluan untuk memudahkan peluang perniagaan untuk pelabur berpotensi.
"Ini termasuk meningkatkan indeks kemudahan menjalankan perniagaan yang menjadi antara teras utama PKNPk dalam membentuk masa depan Perak yang makmur.
“Peranan PKNPk melalui Perak Sejahtera 2030 melangkaui keuntungan ekonomi langsung dengan matlamat mewujudkan impak berganda kepada rakyat Perak dan negeri," ujar kenyataan itu.
Menerusi inisiatif ini ia mewujudkan peluang kewangan yang lebih besar, pelaburan, meningkatkan taraf sosial dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat yang menyeluruh.

Selain itu, PKNPk memberi penekanan terhadap pembangunan perindustrian mampan dengan penekanan pada pertumbuhan masa depan lebih hijau dan mampan untuk Perak.
"Merangkumi rangkaian komprehensif sembilan program perdana tersebut sepanjang rancangan 10 tahun, PKNPk giat memacu inisiatif utama dalam mewujudkan pertumbuhan sosioekonomi mencecah setengah bilion ringgit, melaksanakan peranannya sebagai enjin pertumbuhan negeri.
"Fokus utama PKNPk untuk pelan Perak Sejahtera 2030 melibatkan pembangunan hartanah, teknologi hijau, hospitaliti dan pelancongan, mineral, ekonomi digital, pelabuhan dan logistik," kata kenyataan tersebut. - DagangNews.com








