KUALA LUMPUR 18 Mac – Kerajaan Sarawak akan memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi memastikan semua isu perundangan berkaitan rangka kerja kawal selia Petroleum Sarawak Berhad (Petros) diteliti secara menyeluruh dan adil.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, langkah itu penting bagi melindungi hak negeri serta kepentingan rakyat ketika pertikaian memasuki peringkat perundangan tertinggi negara.
“Kami bersedia mengemukakan petisyen supaya semua perkara dapat dipertimbangkan secara komprehensif oleh Mahkamah Persekutuan.
“Kami juga berharap petisyen PETRONAS dapat didengar bersama petisyen Sarawak supaya setiap isu dapat diteliti secara seimbang,” katanya lapor Borneo Post Online.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program sumbangan kepada anak yatim dan asnaf di Pusat Khidmat Samariang.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan PETRONAS untuk memulakan prosiding bagi mencabar kesahihan beberapa ordinan Sarawak yang berkaitan sektor minyak dan gas.
Sharifah Hasidah menyifatkan keputusan tersebut sebagai wajar kerana ia melibatkan isu perundangan yang memerlukan penelitian lanjut, khususnya berkaitan undang-undang negeri.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan haknya di bawah undang-undang, termasuk peruntukan dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Dalam prosiding itu, PETRONAS mencabar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk menggubal undang-undang tertentu serta memohon beberapa peruntukan diisytiharkan tidak sah.
Antara undang-undang yang dipertikaikan termasuk Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016, Ordinan Tafsiran Sarawak 2005, Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958, Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi Sarawak 1998 serta Kanun Tanah Sarawak 1958.








