Perjalanan keusahawanan Hasnah Abdullah, 56, merupakan kisah ketabahan dan iltizam. Pernah menjadi ibu tunggal yang membesarkan dua anak tanpa pendapatan tetap, beliau kini merupakan pengendali logistik utama kepada satu daripada pengeluar simen terkemuka di Malaysia.
Bersandarkan pendidikan hanya setakat darjah enam dan semangat tidak mudah mengalah, Hasnah memulakan langkah kecil — melakukan pelbagai kerja sampingan sebelum membuka sebuah kedai runcit. Perniagaan kecil itu menjadi batu loncatan kepada usaha lebih besar: menceburi sektor logistik.
Hasil keuntungan daripada kedai runcit tersebut, beliau membeli sebuah lori terpakai dan mula menawarkan khidmat pengangkutan shale, bahan mentah utama dalam penghasilan simen.
Tidak lama kemudian, Hasnah menubuhkan syarikat logistik sendiri — HHA Pasti Maju (HHA) — dan mula menerima kepercayaan daripada Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA) sebagai rakan operasi.
Pada Mei 2011, HHA dilantik untuk mengangkut shale dari Kuari Kaki Bukit ke Kuari NSCI. Menjelang 1 Mac 2023, peranannya diperluaskan secara signifikan apabila syarikat itu diberi tanggungjawab sebagai pengendali utama operasi shale di Kuari Kaki Bukit.
Bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin meningkat, HHA melabur semula dalam jentera dan tenaga kerja. Menjelang September 2023, syarikat menambah aset termasuk lori tipper 10 tayar, 13 lori tipper enam tayar, jengkaut dan mesin penggerudi bagi menyokong operasi kuari dan logistik loji CIMA secara bersepadu.

“Kami bukan sekadar diberi kontrak — CIMA banyak membimbing saya. Dahulu saya buat semua secara manual, kini saya urus syarikat menggunakan sistem digital,” kata Hasnah.
Hari ini, HHA menggaji lebih 20 pekerja tempatan, sebahagian besar daripadanya tidak mempunyai kemahiran sebelum ini. Setelah diberi latihan, mereka kini menjadi operator jentera berat yang cekap dan memperoleh pendapatan tetap.
“Saya bangga dapat bantu mereka bina kehidupan. Ramai yang dulu tiada lesen atau kenderaan, kini sudah mahir dan ada hasil sendiri. Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik komuniti yang bersama saya,” ujar beliau.
Tegoh Aman Trading – Dari warisan keluarga ke perniagaan utama tempatan
CIMA turut memperkukuh rangkaian pembekal bahan binaan melalui kerjasama bersama Tegoh Aman Trading, syarikat yang diasaskan oleh Hussain Zaki Mohd Salleh, 73, di Machang, Kelantan.
Berpengalaman dalam bidang kontraktor sejak 1984, Hussain menubuhkan syarikat secara rasmi pada 1998. Kini, perniagaan itu menjadi antara pembekal utama simen, alat tangan, paip, cat dan kabel elektrik di kawasan sekitar.
“Sejak mula lagi, kami memang guna produk CIMA. Bila permintaan makin meningkat, kami ambil keputusan untuk berurusan terus dengan mereka tanpa melalui orang tengah,” katanya.

Dikendalikan oleh kesemua 10 adik-beradik, syarikat keluarga itu membekalkan lebih 5,000 kampit simen setiap bulan, memenuhi keperluan kontraktor dan pemilik rumah yang mengutamakan mutu dan konsistensi produk CIMA.
“Tukang bina rumah di sini memang percayakan simen CIMA. Kualitinya konsisten dan kekuatan grednya boleh diharap,” tambah beliau.
Rangka kerja inklusif untuk penyertaan Bumiputera
Sebagai anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad, CIMA memainkan peranan strategik bukan sahaja dalam industri pembinaan negara, malah turut memperkukuh penglibatan perniagaan milik Bumiputera dalam keseluruhan ekosistem rantaian bekalan.
Sehingga kini, lebih 700 syarikat Bumiputera berdaftar bersama CIMA, merangkumi pelbagai khidmat penting seperti logistik, pengedaran, pengangkutan dan pembungkusan — sekali gus memastikan bekalan simen terus berjalan lancar di seluruh negara.
Pembangunan dan pemerkasaan usahawan Bumiputera telah dikenal pasti sebagai satu daripada tunjang utama inisiatif “Raise the Floor” oleh CIMA, di bawah kerangka Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).
Inisiatif ini mencerminkan komitmen CIMA terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif dan adil dengan membuka lebih banyak ruang kepada syarikat Bumiputera menyertai sektor berimpak tinggi. Melalui pemerkasaan kapasiti, akses pasaran serta pemadanan kerjasama strategik, ia menyasarkan daya saing jangka panjang yang mampan.

Sokongan strategik berimpak nasional
Menurut Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin, sokongan terhadap syarikat milik Bumiputera bukan sekadar usaha tanggungjawab sosial, malah strategi pertumbuhan yang menjana kesan limpahan.
“Apabila kita bantu syarikat tempatan, kita bukan sahaja bantu mereka jana pendapatan, tetapi turut cipta peluang pekerjaan, bangunkan bakat dan rangsang pertumbuhan setempat,” katanya.
“Kami mahu melihat syarikat Bumiputera menjadi lebih berkualiti, berdaya tahan dan berpotensi untuk menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan ekonomi negara.”

Pengarah Urusan CIMA, Hairol Azizi Tajudin, turut menegaskan bahawa komitmen syarikat terhadap penyertaan Bumiputera bukan sekadar bersifat kontrak, tetapi berasaskan perkongsian strategik jangka panjang.
“Dalam tempoh lima tahun ini sahaja, kami telah berurusan dengan syarikat tempatan membabitkan nilai melebihi RM173 juta.
"Mereka bukan sekadar rakan perniagaan — mereka adalah antara penyumbang utama ke arah Malaysia yang lebih mampan dan inklusif,” katanya. - DagangNews.com








