KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi (STA) mahu menarik pelancong dari Malaysia mengembara ke destinasi-destinasi menarik di negara itu, selain mengerjakan ibadah haji dan umrah.
Untuk itu, STA menganjurkan NUSUK, pameran rangkaian dagangan terbesar di Malaysia yang menyasar untuk memberi kefahaman dan memperhalusi tawaran, produk dan pakej bagi rakyat Malaysia meneroka destinasi-destinasi Saudi yang lain.
Dalam satu kenyataan, STA berkata, dengan inisiatif yang dibangunkan secara berterusan Saudi berusaha menjadikan pelancongan lebih mudah diakses oleh pengunjung dari Malaysia termasuk Visa Persinggahan percuma 96 jam dan eVisa sah sehingga 90 hari.
Bagi mereka yang memegang visa Umrah, terdapat juga peluang untuk menziarahi destinasi-destinasi lain dalam tempoh sah 90 hari.

Pameran NUSUK yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 1 September 2024 bertempat di IOI Putrajaya, akan melibatkan wakil delegasi lebih daripada 40 pemegang saham terkemuka dan 500 agensi pelancongan daripada pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
"Pameran itu membolehkan kami menjalinkan hubungan dengan Syarikat Pengurusan Destinasi (DMC), hotel-hotel, pengangkutan dan rakan kongsi pelancongan Utama," kata STA.
Di samping itu, pameran tersebut akan dihadiri oleh Menteri Haji & Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan AlRabiah sebagai tetamu kehormat.
Sepanjang pameran tersebut dijalankan, STA juga akan mengumumkan beberapa kerjasama utama dan inisiatif yang akan dilancarkan dengan rakan kongsi perniagaan mereka termasuk menawarkan pengalaman eksklusif jelajah Andalusia bersama WeXpress bagi meningkatkan kelancaran perjalanan pelancong Malaysia di Saudi.

Selain itu, kerjasama antara Mitra Kembara dan Grab bagi meemudahkan akses pemandu Grab Malaysia untuk mengerjakan ibadah Umrah.
Sementara itu, rangkaian kapal persiaran pertama milik Saudi, Aroya Cruise, akan mula beroperasi dari Jeddah dengan pelayaran sulungnya bermula pada Disember 2024 yang merupakan titik permulaan Saudi menerokai industri kapal persiaran bertaraf dunia.- DagangNews.com








