PHB lancar Sukuk Murabahah RM1.5 bilion, dilanggan lebih 2.2 kali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PHB lancar Sukuk Murabahah RM1.5 bilion, dilanggan lebih 2.2 kali

Dari kiri: Pengarah Urusan Perbankan Pelaburan, Affin Hwang Investment Bank, Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuad; Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank, Tracy Chen Wee Keng; Ketua Kewangan PHB, Kusuma Dewi Abdul Aziz; Ketua Strategi Korporat PHB, Muhammad Zikri Kamardin; Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit; Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank, Nurjesmi Mohd Nashir; Pengarah Perbankan Pelaburan dan Penasihat Perbankan Institusi Kumpula
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Sept - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah berjaya menerbitkan Sukuk Murabahah pertamanya sebanyak RM1.5 bilion di bawah Program Sukuk Murabahah yang telah ditetapkan dengan penarafan AAA sebanyak RM5 bilion.

 

Sukuk Murabahah pertama PHB ini terdiri daripada RM1.4 bilion Sukuk Murabahah Kestabilan dan RM100 juta Sukuk Murabahah.

 

PHB telah menyelesaikan penerbitan Sukuk Kelestarian Murabahah dan Sukuk Murabahah sulung dengan tempoh matang satu, tiga, lima dan tujuh tahun, yang dilaksanakan melalui penempatan persendirian dan proses pembinaan buku.

 

Menurut kenyataan medianya, PHB berkata, penerbitan sukuk ini mendapat permintaan kukuh daripada pelabur dengan lebihan langganan sebanyak 2.2 kali menjadikan jumlah tempahan hampir RM3 bilion dengan kadar keuntungan antara 3.49% hingga 3.91% setahun. 

 

Katanya, Sukuk Kelestarian Murabahah mendapat sambutan baik daripada pelbagai segmen pelabur, termasuk dana pencen, syarikat insurans, pengurus aset dan institusi kewangan.

 

"Program Sukuk Murabahah PHB terdiri daripada program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan program Kertas Komersial Islam (ICP), dengan nilai nominal gabungan sehingga RM5 bilion. 

 

"Program-program ini distrukturkan berdasarkan prinsip Murabahah berasaskan Tawarruq yang mematuhi Syariah, dengan fleksibiliti untuk menerbitkan tranche Sukuk Kelestarian Murabahah.

 

"Selaras dengan Kerangka Sukuk Kelestarian PHB, hasil kutipan daripada terbitan sukuk kelestarian akan digunakan untuk membiayai semula projek pembangunan bagi mencapai manfaat iklim, alam sekitar dan penambahbaikan aspek sosial," katanya hari ini.

 

Tambah PHB, Program Sukuk Murabahah berkenaan telah diberi penarafan kredit AAA/Stable dan P1 oleh RAM Ratings. 

 

"Ia adalah cerminan kedudukan kewangan PHB yang kukuh serta peranannya yang strategik dalam memajukan pemilikan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial negara, selaras dengan mandat kerajaan. 

 

"Selain itu, Program Sukuk Murabahah tersebut turut menerima Penarafan Kewangan Lestari Emas oleh RAM Sustainability, dengan penetapan Manfaat Alam Sekitar dan Manfaat Sosial," jelasnya.

 

Affin Hwang Investment Bank Berhad ialah penasihat dan pengatur utama tunggal untuk Program Sukuk Murabahah tersebut. Affin Hwang Investment juga ialah salah satu pengurus bersama utama bagi transaksi ini, bersama-sama AmInvestment Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

 

Majlis menandatangani Program Sukuk Murabahah bertaraf AAA bernilai RM5 bilion antara PHB dan Affin Hwang Investment Bank telah berlangsung 2 September 2024. 

 

PHB diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Damshal Awang Damit, manakala Affin Hwang Investment Bank diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurjesmi Mohd Nashir.

 

Menurut Mohamad Damshal, penerbitan Program Sukuk Murabahah bernilai RM5 bilion adalah kunci dalam mencapai matlamat jangka panjang PHB untuk pertumbuhan lestari dan mengukuhkan komitmen kami bagi memberikan nilai tambah berlandaskan prinsip Syariah.

 

“Permintaan yang kukuh untuk penerbitan ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kewangan PHB dan peranan strategik kami dalam merealisasikan mandat kerajaan yang telah diberikan kepada kami,” ujarnya.

 

Tambah beliau lagi, program Sukuk Murabahah menyediakan modal penting untuk mengembangkan portfolio pelaburan PHB yang patuh Syariah melalui pemerolehan aset baharu, pembiayaan semula pinjaman sedia ada dan akan datang, sambil meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial utama melalui Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).

 

Sementara itu, PHB telah menerima Penarafan Kredit Korporat AAA/Stable/P1 daripada RAM Ratings dan Penarafan Kewangan Lestari Emas3 daripada RAM Sustainability, penarafaan tersebut ialah cerminan kekuatan kredit PHB dan prestasi kelestarian cemerlang dalam sektor pelaburan hartanah.- DagangNews.com