Petronas menangi bidaan bagi blok Ketapang Utara, Indonesia | DagangNews Skip to main content

Petronas menangi bidaan bagi blok Ketapang Utara, Indonesia

KUALA LUMPUR 18 Mac - Petronas menerusi unitnya, PC Ketapang II Ltd., memenangi blok Ketapang Utara, yang terletak di pesisir pantai dan luar pesisir Jawa Timur. 

 

Keputusan pusingan kedua Pusingan Bidaan Petroleum Indonesia 2021 itu diumumkan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia hari ini, menurut Petronas dalam kenyataannya. 

 

Berikutan kejayaan bidaan itu, Petronas akan mengendalikan dan memegang 100% ekuiti dalam blok berkeluasan 3,131.8 kilometer persegi dengan kedalaman sehingga 100 meter di bawah paras laut.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia atas kejayaan pusingan bidaan tersebut memandangkan blok tersebut terletak bersebelahan di mana penemuan menggalakkan dilaksanakan tahun lalu.

 

Katanya, dengan sokongan Kerajaan Indonesia, Petronas akan terus mengukuhkan penerokaan huluan bagi menambah nilai dalam pembangunan industri tenaga di negara tersebut.

 

"Sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif, Petronas komited untuk menyampaikan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai ke Indonesia," katanya.

 

Petronas juga merupakan operator bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Ketapang dan Madura Utara II di luar pesisir Jawa Timur.

 

Syarikat minyak dan gas negara itu juga adalah rakan kongsi usaha sama dalam 6 PSC yang terletak di pesisir pantai dan luar pesisir Sumatra, Laut Natuna, Jawa Timur dan Indonesia Timur. - DagangNews.com