KUALA LUMPUR 8 Mac - RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perbankan meskipun prospek pertumbuhan pendapatan menyederhana dan terus memilih saham yang sedang bertumbuh dengan penilaian yang berpatutan.
Menurut RHB Investment, bank-bank optimis dengan permintaan pinjaman, disokong oleh gadai janji runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelancaran projek prasarana.
Di samping itu, firma berkenaan berkata kualiti aset tampak baik dengan tiada faktor-faktor tekanan besar dilihat.
Ini disokong lagi oleh sesetengah bank yang mengambil peluang untuk meningkatkan peruntukan penimbal tahun lepas dan tetap berpegang pada peruntukan pertindanan pengurusan, menunjukkan bank-bank tidak tergesa-gesa untuk memasuk kira semula peruntukan ini.
Sebaliknya, bayangan bagi NIM bercampur-campur. Dalam segmen seperti gadai janji dan PKS, pendapatan agak tertekan dan pertumbuhan kredit yang kukuh mungkin menyebabkan persaingan deposit kian teruk.
Tambahan lagi, perbelanjaan operasi (opex) mungkin kekal tinggi akibat kesan inflasi dan mata wang, dan juga pelaburan digital dan teknologi yang sedang dijalankan.
“Memandang ke hadapan, permintaan pinjaman yang bagus, kualiti aset yang stabil dan penimbal yang teguh merupakan faktor-faktor positif.
“Namun begitu, pembiayaan untuk pertumbuhan mungkin menyebabkan persaingan deposit semakin memburuk, di samping langkah pembayaran dividen menjadi lebih konservatif,” ulasnya dalam nota penyelidikan.
Syarikat pilihan utama RHB Investment bagi sektor ini, dengan saranan ‘beli’ adalah CIMB Group Holdings Berhad (harga sasaran [TP]: RM7.35), AMMB Holdings Berhad (AmBank) (TP: RM4.80), Hong Leong Bank Bhd (TP: RM23.20) dan Alliance Bank Malaysia Bhd (TP: RM4.30).
Susulan keputusan tahun kewangan 2023 (FY23) dan semakan unjuran pendapatan, firma penyelidikan itu meningkatkan anggaran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sektor pada FY23-25 kira-kira 2% setahun.
“Pindaan khususnya dibuat bagi CIMB (PATMI FY24-25: 9% hingga 10%), Bank Islam Malaysia Berhad (PATMI FY24-25: 6% hingga 7%), dan Affin Bank Berhad ( PATMI FY24-25: disemak turun antara 12% dan 13%).
“Susulan itu, kami kini mengunjurkan kenaikan pendapatan sektor FY24 sebanyak 7% YoY (FY23: 13% YoY), dibantu oleh margin faedah bersih (NIM) yang stabil dan pertumbuhan pinjaman,” tambahnya. - DagangNews.com








