Pertumbuhan OSK dijangka terus stabil pada FY23 disokong peningkatan dalam semua segmen – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan OSK dijangka terus stabil pada FY23 disokong peningkatan dalam semua segmen – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - OSK Holdings Bhd dijangka terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil dalam tahun kewangan 2023 (FY23), disokong oleh peningkatan dalam semua segmen, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Menurut firma penyelidikan itu, segmen hartanah akan mendapat manfaat daripada pelancaran dalam perancangan yang sihat, peningkatan dalam jualan domestik serta kemajuan tapak pembinaan yang lebih baik.

 

Bagi pembiayaan modal, firma itu terus melihat ruang pertumbuhan bagi segmen pembiayaan sivil dan pembiayaan Australia.

 

“Dalam industri, kedua-dua segmen kabel dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) menikmati permintaan kukuh dengan kecekapan pengeluaran yang lebih baik.

 

“Bagi hospitaliti, peningkatan dalam ketibaan pelancong seharusnya memberi manfaat kepada segmen itu.

 

“Akhirnya, sumbangannya daripada RHB juga harus bertambah baik memandangkan ketiadaan Cukai Kemakmuran, manakala sektor perbankan domestik dijangka kekal berdaya tahan,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.59 sesaham daripada RM1.46.

 

Menurut firma itu, saham OSK pada masa ini memberikan hasil dividen yang baik pada 5.7%.

 

“Dengan pemahaman dan penghayatan yang lebih baik terhadap nilai perniagaan kumpulan, sementara prospeknya juga bertambah baik, saham itu berada dalam laluan untuk penarafan semula bagi mencerminkan nilai intrinsiknya dengan lebih baik.

 

“Kami yakin OSK akan terus mencatatkan peningkatan stabil disokong oleh ekonomi domestik berdaya tahan, keadaan pasaran buruh yang pulih dan pemulihan aktiviti pelancongan,” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham OSK telah menokok 2 sen atau 1.9% kepada RM1.07 dengan modal pasaran dinilai sebanyak RM2.24 bilion. - DagangNews.com