Pertumbuhan MR DIY dijangka perlahan kesan tekanan inflasi, CGS-CIMB turunkan penarafan MR DIY kepada ‘pegang’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan MR DIY dijangka perlahan kesan tekanan inflasi, CGS-CIMB turunkan penarafan MR DIY kepada ‘pegang’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mei - CGS-CIMB Research menurunkan taraf saranan MR DIY Group (M) Bhd kepada ‘pegang’ daripada ‘tambah’ disebabkan pertumbuhan kumpulan yang dijangka perlahan.

 

Berikutan keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) pada 11 Mei lalu, firma penyelidikan itu berkata ia berada dalam jangkaan konsensusnya dan Bloomberg pada 22% daripada anggaran FY23.

 

Walaupun 1QFY23 kumpulan berada dalam jangkaan, firma itu berkata permintaan pengguna yang lebih perlahan untuk barangan dan pengubahsuaian format kedai menyebabkannya mengurangkan anggaran pendapatan sesaham (EPS).

 

“Kebimbangan utama kami adalah peralihan perbelanjaan dan jangkaan pertumbuhan yang lebih rendah,” katanya dalam nota hari ini.

 

Menurut firma itu, permintaan lebih perlahan untuk barangan pengguna disebabkan kelemahan kuasa perbelanjaan berikutan tekanan inflasi.

 

Selain itu, perubahan format kedai baharunya  seperti peralihan daripada format kedai MR DOLLAR yang pada mulanya mempunyai harga tetap pada RM2 atau RM 5 kepada tawaran rangkaian produk berharga di bawah RM10, yang mungkin tidak semestinya menepati profil pelanggan sasaran asalnya, pada pandangan firma itu.

 

Bagi jangka pendek, katanya, ini boleh menyebabkan tekanan menurun pada momentum jualan.

 

Di samping itu, kesan kenaikan gaji minimum terus menyebabkan kelembapan pendapatan jangka pendek.

 

“Oleh itu, kami mengurangkan anggaran EPS bagi FY23-24 sebanyak 3.9 hingga 9.4% untuk mengambil kira ketidakpastian di atas,” tambahnya.

 

Firma itu menurunkan saranan kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.50 sesaham.

 

Setakat pukul 12:20 tengahari ini, saham MR DIY telah menyusut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.58 sesaham, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM14.9 bilion. -DagangNews.com