Pertumbuhan MMHE dalam ladang angin bergantung kejayaan pelaksanaan projek - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan MMHE dalam ladang angin bergantung kejayaan pelaksanaan projek - RHB Investment

Gambar hiasan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Jun - Pelaksanaan projek yang berjaya amat penting bagi memastikan potensi pertumbuhan Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) dalam sektor ladang angin dapat direalisasikan sepenuhnya.

 

RHB Investment Bank berkata, pihaknya memandang baik tawaran kontrak RM1.5 bilion terbaharu yang dimenangi MMHE dan ia dijangkakan menaikkan buku pesanan Kumpulan itu sebanyak 28% kepada kira-kira RM6.9 bilion (1Q24: RM5.4 bilion)

 

Katanya, tawaran ini merupakan kontrak pencawang luar pesisir ladang angin (OSS) yang kedua kumpulan ini selepas kontrak pertama diraih pada November 2023. 

 

"Walaupun aspek pelaksanaan dan pengurusan kos penting bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancarnya, kami yakin MMHE akan terus menerima manfaat daripada segmen ladang angin yang kian berkembang" katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MMHE raih subkontrak projek pencawang luar pesisir di Belanda bernilai RM1.5 bilion

 

Anak syarikat milikan penuh MMHE berjaya memperoleh subkontrak keduanya daripada Petrofac International (UAE) untuk menjalankan kerja pembinaan, pemerolehan dan kejuruteraan (EPC) bagi sebuah pelantar OSS yang mempunyai arus terus bervoltan tinggi (HVDC) di Belanda, dengan nilai RM1.5 bilion. 

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia semalam, pelantar OSS ini mempunyai bahagian atas yang beratnya mencecah kira-kira 30,000 tan (termasuk peralatan) dan jaket seberat sekitar 10,000 tan.

 

Sementara itu, menurut firma penyelidikan tersebut, selepas penerimaan kontrak ini, buku tender MMHE yang diunjurkan mencecah antara RM4.5-5.5 bilion (1Q24: RM6-7 bilion) terdiri daripada kerja-kerja membabitkan ladang angin dan kemudahan tetap. 

 

Katanya, nilai tender ini juga berpotensi meningkat kelak menerusi pemerolehan kontrak unit OSS tambahan yang bersaiz sama.

 

"Tempoh yang ditetapkan untuk subkontrak ini adalah sekitar 36 bulan, dengan kerja pembikinan dijangka bermula pada 2025, sama seperti kontrak pertama yang ditawarkan. 

 

"Sebelum ini, pihak pengurusan memberitahu bahawa pembinaan OSS ladang angin tersebut akan dijalankan di kawasan East Yard MMHE, di samping kerja Carigali-PTTEPI Operating Co (CPOC) yang ditawarkan pada Feb 2023. 

 

"Selain itu, pihak-pihak yang terlibat juga mungkin akan bekerjasama dalam kerja pembikinan untuk satu lagi unit OSS bersaiz yang sama," jelasnya.

 

RHB Investment dalam pada masa sama mengunjurkan margin EBIT konservatif sebanyak 1% yang menjana perolehan sekitar RM15 juta oleh sebab rekod prestasi kerugian MMHE.

 

"Kami bertindak mengekalkan saranan dan harga sasaran (TP) buat saham ini kerana nilai kontrak ini masih berada dalam anggaran penambahan kerja kami. 

 

"TP 60 sen sesaham ditetapkan pada P/BV FY25F 0.7x (+1.5SD daripada purata 5 tahun) dengan diskaun ESG 4% dikenakan mengikut kaedah proprietari dalaman kami," ujarnya.- DagangNews.com