KUALA LUMPUR 16 Ogos - Lonjakan permintaan domestik serta pemulihan berterusan eksport telah mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk meningkat pada kadar yang lebih tinggi daripada unjuran-unjuran ahli ekonomi bagi dua suku tahun berturut-turut.
Kementerian Kewangan berkata, oada suku kedua 2024 (2Q24), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.9% (1Q24: 4.2%), sekali gus mengatasi unjuran median konsensus Bloomberg iaitu sebanyak 5.8%.
Katanya, peningkatan pada 2Q24 telah menjadikan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi separuh tahun pertama 2024 sebanyak 5.1% (separuh tahun pertama 2023: 4.1%).
Kadar ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang selesa untuk menutup tirai tahun ini dengan kadar pertumbuhan yang tinggi di ambang unjuran rasmi Kerajaan sebanyak 4% hingga 5%, kata Kementerian Kewangan.
“Prestasi ekonomi Malaysia yang membanggakan ini sekali lagi mengatasi keadaan global yang tidak menentu dan telah melemahkan permintaan serta pertumbuhan di kebanyakan negara.
"Angka dan indikator yang positif adalah bukti bahawa reformasi dasar serta pengurusan ekonomi Kerajaan MADANI telah membuahkan hasil,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi Malaysia berkembang 5.9% pada suku kedua 2024 didorong permintaan domestik kukuh - BNM
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata:
“Prestasi yang memberangsangkan ini akan terus mendorong Kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda reformasi Ekonomi MADANI. Dengan itu, Kerajaan yakin momentum pertumbuhan negara akan diperkukuh dalam tempoh mendatang.”
Permintaan domestik pada 2Q24 melonjak sebanyak 6.9% (1Q24: 6.1%) didorong oleh peningkatan dalam perbelanjaan pengguna semasa musim cuti Aidilfitri dan Aidiladha serta pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Kementerian Kewangan, peningkatan tersebut turut disokong oleh kenaikan perbelanjaan modal dalam sektor awam dan swasta.
"Dari sudut penawaran, pertumbuhan pada suku tersebut disokong oleh sektor perkhidmatan yang berdaya tahan serta pertumbuhan menggalakkan dalam sektor lain," jelasnya.

Tambah Kementerian Kewangan, pertumbuhan pada 2Q24 adalah selaras dengan peningkatan indikator-indikator ekonomi termasuk:
• Pasaran buruh mengekalkan momentum positif. Jumlah pekerjaan meningkat 2.8% kepada 16.6 juta. Sekitar 190,000 pekerjaan baharu telah dicipta sekali gus mendorong kadar pengangguran kekal rendah pada 3.3%. Kenaikan gaji dan upah bagi sektor-sektor perkhidmatan dan pembuatan juga kekal memberangsangkan iaitu masing-masing pada 3.5% dan 1.4%.
• Kadar inflasi kekal rendah pada 1.9% berbanding 1.7% pada 1Q 2024.
• Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index; IPI) meningkat pada kadar lebih tinggi iaitu 4.5% pada S2 2024 (S1 2024: 3.3%). Kenaikan ini dipacu oleh momentum positif dalam semua sektor iaitu elektrik (5.3%), pembuatan (4.9%) dan perlombongan (2.4%).
• Nilai kerja pembinaan melonjak 20.2% kepada RM38.9 bilion pada 2Q24 (1Q 2024: 14.2%; RM36.8 bilion). Pertumbuhan ini dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan dalam subsektor-subsektor kejuruteraan awam (25.2%) dan bangunan kediaman (19.7%). Ia juga telah disokong oleh peningkatan ketara dalam aktiviti pembinaan khas (44.9%) dan prestasi baik dalam subsektor bangunan bukan kediaman (7.2%).
• Dari perspektif sektor luar negeri, jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 10% kepada RM705.6 bilion. Eksport kasar meningkat 5.8% kepada RM368.8 bilion dan import kasar berkembang sebanyak 15% kepada RM336.8 bilion. Malaysia telah mengekalkan lebihan dagangan yang berjumlah RM32 bilion pada 2Q24.
• Lebihan akaun semasa dalam Imbangan Pembayaran menguncup kepada RM3 bilion atau 0.7% daripada Pendapatan Negara Kasar (1Q24: 3.6%; RM16.2 bilion). Penyusutan ini adalah disebabkan oleh lebihan dalam akaun barangan yang lebih rendah dan defisit dalam akaun pendapatan primer yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan mencatatkan defisit lebih kecil berikutan peningkatan ketibaan pelancong. Pelaburan langsung asing (foreign direct investment; FDI) bersih adalah sebanyak RM9.1 bilion (S1 2024: RM5.5 bilion), yang khususnya dari Jepun, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan China. Pelaburan tersebut telah disalurkan dalam sektor pembuatan; maklumat dan komunikasi; serta perdagangan borong dan runcit.
• Nilai ringgit mengukuh sebanyak 0.2% berbanding dolar AS (RM4.7175) pada 2Q24. Prestasi ringgit bertambah baik didorong oleh kekukuhan ekonomi domestik serta usaha bersepadu Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan permintaan terhadap mata wang tempatan. Setakat 9 Ogos 2024, nilai ringgit mencecah tahap tertinggi dalam tempoh 16 bulan iaitu RM4.42 berbanding dolar AS.
Menurut Kementerian Kewangan, sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia kekal cenderung kepada ketidaktentuan global.
Katanya, ini termasuklah ketegangan geopolitik yang berlarutan, gangguan rantaian bekalan serta prospek pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama yang pelbagai, yang mana kebanyakan ekonomi tersebut merupakan rakan dagang utama Malaysia.
"Walau bagaimanapun, momentum pertumbuhan separuh pertama 2024 yang pesat ini melambangkan asas negara yang kukuh seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia," jelasnya.
Perdana Menteri berkata, dengan meneruskan pelaksanaan reformasi dasar seperti diilhamkan dalam kerangka jangka masa sederhana Ekonomi MADANI, Malaysia berupaya mengecapi kitaran pertumbuhan ekonomi baharu dan menjayakan reformasi fiskal yang diperlukan.
“Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diluncur pada Mei 2024 merupakan satu lagi tambahan kepada dokumen dasar untuk memodenkan ekonomi negara dengan membangunkan industri-industri bernilai tinggi dan mampan.
"Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober 2024 merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan dasar yang bermula secara besar-besaran pada tahun ini,” tambah Anwar.
Menurut Kementerian Kewangan, pertumbuhan kukuh yang melangkaui jangkaan pada separuh pertama 2024 telah meletakkan Kerajaan pada kedudukan yang ampuh untuk mencapai sasaran defisit fiscal sebanyak 4.3% pada 2024.
"Perkembangan ini juga memberikan ruang yang mencukupi untuk Kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang mampu menyokong pertumbuhan selanjutnya pada tahun ini, jika diperlukan.
"Walau bagaimanapun, Kerajaan kekal nekad untuk mematuhi sasaran jangka masa sederhana untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3% atau lebih baik.
"Usaha-usaha sedang diambil untuk menambah baik tadbir urus dan mendigitalkan perkhidmatan awam bagi membantu meningkatkan asas hasil negara.
"Kerajaan juga akan terus mengenal pasti langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan dan mengurangkan ketirisan," kata kenyataan itu.- DagangNews.com








