KUALA LUMPUR 14 Ogos - Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) meraih potensi jualan lebih RM10 juta melalui penyertaan mereka di Ekspo Makanan dan Teknologi Amman Jordan 2023 (INFEXPO 2023), baru-baru ini.
Presiden PENGILANG, Datuk Dr Azman Yusoff berkata, acara yang dianjurkan di ibu kota Jordan itu menyaksikan pencapaian luar biasa usahawan Malaysia dalam sektor makanan dan teknologi.
Beliau berkata, kehadiran 11 syarikat dari Malaysia membuktikan komitmen mereka dalam mempromosikan produk makanan dan minuman terbaik negara di pasaran global.
Katanya, sambutan yang membanggakan terhadap barangan Malaysia, terutamanya produk kopi dan teh campuran, produk Ready-to Eat (RTE) seperti karashi bilis garlic, dan gillies rending adalah satu petanda yang jelas mengenai kualiti dan daya saing produk-produk tempatan.
"Keunikan dan cita rasa yang tersendiri telah memikat hati para pengunjung, menarik minat untuk meneroka lebih lanjut produk-produk tersebut.
"Kerjasama erat antara di Kedutaan Malaysia di Jordan dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pemasaran digital kepada syarikat-syarikat pengimport dan pengedar di Jordan serta negara-negara di sekelilingnya.
"Langkah ini telah membuka lebih banyak peluang dalam pengembangan jaringan perniagaan dan meningkatkan kesedaran mengenai produk Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Azman, pameran ini turut dikunjungi pembeli-pembeli dari Iraq, Mesir, Arab Saudi, dan Syria yang datang untuk menerokai peluang perniagaan yang ditawarkan.
Katanya, keunikan produk Malaysia dan reputasi yang baik telah menjadi pendorong utama untuk pengunjung-pengunjung datang dari pelbagai negara.
"Tidak terhenti di situ, Duta Malaysia ke Jordan, Mohamad Nasri Abdul Rahman juga menyeru supaya lebih ramai pengeksport dari Malaysia datang untuk meneroka peluang-peluang pasaran di Jordan.

"Seruan ini menggariskan matlamat untuk memperkukuhkan lagi hubungan dagangan antara Malaysia dan Jordan," katanya.
Sementara itu, turut diadakan majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) perdagangan antara syarikat ahli PENGILANG, HA One Holdings dengan syarikat-syarikat dari Jordan, Iraq, Mesir dan Palestin.
Majlis menandatangani MoU ini yang disaksikan oleh Mohamad Nasri dan Azman, yang mana mencerminkan komitmen dan kesungguhan untuk meningkatkan kerjasama perdagangan di peringkat antarabangsa.
Penyertaan Malaysia di pameran ini telah membuktikan daya saing dan inovasi usahawan PENGILANG dalam pasaran global. Dengan keterlibatan 26 negara dan kejayaan memeterai lima MoU perdagangan, PENGILANG berjaya mewujudkan suatu platform bagi pertumbuhan dan penerokaan pasaran lebih luas.
PENGILANG turut mengadakan pertemuan bersama Jordan Chamber of Commerce dalam satu majlis ringkas pada 13 Ogos 2023. Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuhkan lagi hubungan dagangan dan meneroka peluang perniagaan dan aktiviti ekonomi melalui rangkaian perniagaan dengan komuniti perniagaan tempatan. - DagangNews.com








