KUALA LUMPUR 24 Jan - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mengambil langkah penyelesaian yang cepat dan menyeluruh melalui pemberian Dana Jaminan Khas bagi memastikan projek Rumawip Residensi Hektar Gombak dapat disiapkan oleh pemaju.
Gesaan ini disuarakan Jawatankuasa Bertindak Pro-Tem Residensi Hektar Gombak susulan kenyataan KPKT kelmarin yang hanya menyatakan akan membantu pemaju mendapatkan pembiayaan dari institusi kewangan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pro-Tem, Rumawip Residensi Hektar Gombak, Indra Isman berkata, sepatutnya KPKT meneroka semua alternatif yang tersedia untuk kerja-kerja pembinaan projek ini supaya dapat disambung semula khususnya dengan pemberian Dana Jaminan Khas yang telah diumumkan dalam pembentangan Belanajwan 2024.
Katanya, Dana Jaminan Khas ini menjadi harapan terakhir pembeli untuk melihat projek perumahan mampu milik ini menjadi kenyataan berbanding membantu pemaju mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.
"Untuk makluman, projek Rumawip Residensi Hektar Gombak menepati segala syarat-syarat yang ditetapkan bagi Dana Jaminan Khas tersebut iaitu rumah mampu milik, berharga RM300,000 ke bawah dengan status kemajuan projek melebihi 80%," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, menurut Indra, KPKT bagaimanapun pada 22 Januari lalu masih bertegas akan hanya membantu pemaju mendapatkan pembiayaan dari institusi kewangan.
Sedangkan katanya, semua sudah sedia maklum dengan keadaan kewangan pemaju yang terkini, adalah amat sukar bagi mana-mana institusi kewangan untuk memberikan pembiayaan.
"Oleh kerana itu, kami merayu agar pihak KPKT dapat meluluskan Dana Jaminan Khas tersebut bagi Rumawip Residensi Hektar Gombak dengan kadar segera supaya dapat membantu memberi jaminan kuat supaya institusi kewangan yang terlibat akan lebih yakin untuk memberikan pembiayaan kewangan kepada pemaju.
"Langkah ini juga bagi memastikan kepentingan pembeli rumah dijaga sepenuhnya sepanjang proses ini," jelasnya.
Dana jaminan khas berjumlah RM1 bilion diumum kerajaan tahun lalu bagi menggalakkan pemaju berwibawa memulihkan projek yang telah dikenal pasti.

Indra berkata, pihak jawatankuasa juga yakin kerajaan akan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan penyiapan projek ini kerana ia adalah projek perumahan mampu milik dan terletak di bawah program Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini yang dinamakan sebagai “Residensi Wilayah” atau lebih dikenali sebagai Rumawip.
"Kami berharap kerajaan akan benar-benar serius dalam memberikan jaminan penyiapan projek perumahan mampu milik ini kerana ia akan menjadi kes contoh bagi kesemua perumahan mampu milik lain dan memperlihatkan bagaimana komitmen sebenar kerajaan dalam menunaikan janji bagi menaikkan taraf pemilikan rumah dalam kalangan B40 dan M40," ujarnya.
Kata Indra, adalah amat menyedihkan apabila projek perumahan mampu milik yang telah bermula sejak 2018 ini telah diklasifikasikan sebagai projek sakit pada 6 April 2023 disebabkan oleh kelewatan penyiapan projek dan isu kewangan yang dihadapi oleh pemaju.
Ujar beliau, status kemajuan projek yang dilaporkan oleh KPKT adalah sebanyak 84.75% dengan kerja terkini di tapak yang sangat minimum dan tidak menunjukkan kemajuan yang signifikan sejak sekian lama.
Indra juga pada masa sama kesal apabila pihak pemaju telah menolak untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pembeli terlibat.
"KPKT juga mengambil pendekatan untuk tidak melibatkan Ahli Jawatankuasa Bertindak Pro-Tem Residensi Hektar Gombak (mewakili para pembeli) dalam perbincangan dan mesyuarat mereka bersama pemaju dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam projek ini," katanya.

Pada Ahad lalu, Jawatankuasa Bertindak Pro-Tem Residensi Hektar Gombak dan pembeli perumahan itu berkumpul mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan memastikan pemaju menyiapkan projek tersebut.
Susulan perhimpunan itu, KPKT memaklumkan, Pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan pada tahun 2023 telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemaju dan turun ke tapak projek ini sebagai langkah mitigasi daripada kerajaan.
Menurut kenyataan media itu, KPKT akan terus membantu pemaju bagi mendapatkan bantuan pinjaman kewangan untuk menyiapkan projek tersebut yang dikategorikan sebagai projek sakit.
Projek pembangunan bercampur itu yang terdiri daripada 5 blok bangunan pangsapuri 46 tingkat melibatkan 2,400 unit rumah dan lokasi pemajuan ini terletak di Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur. - DagangNews.com








