Pernas sumbang RM45,600 kepada dua pertubuhan kebajikan sempena sambutan Aidilfitri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pernas sumbang RM45,600 kepada dua pertubuhan kebajikan sempena sambutan Aidilfitri

Datuk Hazimah Zainuddin menyantuni sebahagian anak-anak yatim pada Program Sinar Ramadan, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyumbang sebanyak RM45,600 kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera, Kuala Lumpur, bagi meraikan serta membantu persiapan kelengkapan menyambut Syawal.

 

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, seramai 80 anak-anak yatim dibantu melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kedua pada tahun ini. 

 

Katanya, inisiatif CSR Program Sinar Ramadan ini juga sebagai tanda keprihatinan syarikat untuk membantu golongan anak-anak yatim tentang persediaan dan keperluan masyarakat yang memerlukan untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

 

"Pernas memperuntukkan belanjawan sebanyak RM45,600 untuk disumbangkan kepada mereka melalui sumbangan kewangan bagi pembelian keperluan perayaan seperti baju raya, songkok, tudung, kasut serta duit raya berjumlah RM100 seorang," katanya dalam kenyataan.

 

Turut hadir dalam program itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek; Pengurus Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai, Muhamad Syafiq Suhaimi, dan Pengasas Bersama Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera, Suzana Jaafar.

 

Menurut Hazimah, pihaknya komited untuk menjuarai program-program CSR melalui tiga terasnya, iaitu keusahawanan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

 

“Pada Mac lalu, Pernas melaksanakan CSR bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai yang merupakan sekolah angkat Pernas bagi membantu murid-murid asnaf menyediakan persiapan persekolahan. 

 

 

pernas
Seramai 80 anak-anak yatim dibantu melalui inisiatif CSR Pernas yang kedua pada 2023.

 

 

pernas

 

 

"Manakala, hari ini merupakan inisiatif CSR kedua Pernas menyantuni anak-anak yatim dengan program berbuka puasa dan menyumbang kelengkapan perayaan serta duit raya," katanya.

 

 

pernas

 

 

Tambahnya, selain Program CSR Sinar Ramadan, Pernas juga mempunyai beberapa inisiatif CSR yang akan dilaksanakan pada tahun ini bagi membantu golongan yang memerlukan. - DagangNews.com