Pernas labur RM62 juta untuk pembukaan cawangan baharu Gloria Jean's Coffees, 1901 Frankfurters melalui MyFranchise | DagangNews Skip to main content

Pernas labur RM62 juta untuk pembukaan cawangan baharu Gloria Jean's Coffees, 1901 Frankfurters melalui MyFranchise

Datuk Ewon Benedick (dua, kiri) dan Datuk Hazimah Zainuddin (dua, kanan) ketika Majlis Pelancaran 'Flagship Store' 1901 Frankfurters dan Gloria Jean's Coffees di Menara Pernas, Kuala Lumpur pada 22 Februari 2024. Turut kelihatan, Datuk Ramanan Ramakrishnan (kanan) dan Mohairi Mohamad (kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) dan syarikat milik penuh Pernas iaitu Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) akan melabur sebanyak RM62 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2024 sehingga 2029 dalam inisiatif menambah 50 buah outlet Gloria Jean’s Coffees dan 100 buah outlet 1901 Frankfurters.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, dengan jumlah unjuran pulangan jualan sebanyak RM1.8 juta setahun bagi setiap cawangan Gloria Jean’s Coffees dan unjuran pulangan jualan sebanyak RM600,000 setahun bagi setiap cawangan 1901 Frankfurters.

 

Beliau berkata, selain itu ia bakal mencipta sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun untuk kedua-dua jenama tersebut.

 

Katanya, menerusi pelan perniagaan strategik bagi tempoh lima tahun bermula 2024 sehingga 2029, MyFranchise akan membina ekosistem keusahawanan menyeluruh meliputi antaranya penambahbaikan rantaian bekalan (central kitchen), logistik, pemerkasaan pemasaran dan rangkaian bahan mentah.

 

"Ini adalah selaras dengan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (D- PUF 2030) yang kini sedang dimuktamadkan untuk memastikan ekosistem keusahawanan francais di negara ini berkembang dengan lebih teratur dan berstruktur.

 

"Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia, dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran 'Flagship Store' 1901 Frankfurters dan Gloria Jean's Coffees di Menara Pernas di sini hari ini.

 

 

pernas
Datuk Ewon Benedick

 

 

Turut hadir Timbalannya, Datuk Ramanan Ramakrishnan; Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyFranchise, Jeoffrey Aladib dan CEO Big Nineteen Sdn Bhd, Mohairi Mohamad.

 

Sementara itu, Hazimah pula berkata, MyFranchise melalui anak syarikat milik penuh yang dikenali sebagai Big Nineteen Sdn Bhd, telah dipertanggungjawab untuk menguruskan jenama 1901 Frankfurters.

 

 

pernas
Datuk Hazimah Zainuddin

 

 

Katanya, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk penjenamaan semula jenama 1901 Frankfurters, satu jenama makanan segera yang tidak asing di Malaysia.

 

"Inisiatif ini membuktikan komitmen Pernas dan MyFranchise dalam memelihara jenama tempatan dan meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa.

 

 

pernas

 

 

pernas

 

 

"Saya berharap dengan perjenamaan jenama 1901 Frankfurters, lebih ramai individu akan memanfaatkan peluang dan platform sedia ada untuk menceburi bidang ini dan berjaya sebagai usahawan francais," katanya.

 

Tambahnya, Pernas dan MyFranchise sentiasa bersedia untuk mendukung para usahawan dengan menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan serta akses kepada sumber daya serta latihan yang berkualiti supaya usahawan baharu ini dapat membina perniagaan yang kukuh dan berdaya maju.  - DagangNews.com