Permintaan minyak sawit dari Eropah semakin baik, aktiviti simpan stok sebelum EUDR - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Permintaan minyak sawit dari Eropah semakin baik, aktiviti simpan stok sebelum EUDR - AmInvestment

EUDR bakal dilaksanakan 30 Disember 2024 yang turut melibatkan penanaman sawit. Gambar DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Sept - Permintaan minyak sawit daripada Kesatuan Eropah (EU) kini semakin baik kerana negara-negara dari blok tersebut sedang menyimpan stok sebelum pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR).

 

Menurut AmInvestment Bank, perkara ini seperti dinyatakan oleh IOI Corporation Bhd dan SD Guthrie Berhad yang mana EUDR bakal dikuatkuasakan pada 30 Disember 2024.

 

"IOI dan SD Guthrie mencatatkan keuntungan hiliran yang lebih tinggi secara perbandingan suku ahun ke suku tahun (QoQ) pada suku kedua 2024 (2Q2024). 

 

"IOI menyatakan bahagian pembuatan (oleo dan penapisan) dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua 2024 (2H2024) kerana EU sedang menyimpan stok sebelum EUDR dilaksanakan pada 30 Disember 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Neutral' bagi sektor perladangan dngan bekalan jagung dan soya yang lebih tinggi akan mengehadkan potensi kenaikan Harga minyak sawit mentah (MSM).

 

"Andaian harga purata MSM 2024 kami adalah RM4,000 setiap tan untuk penanam tulen di Malaysia (berbanding RM3,833/satu tan pada 2023) dan RM3,700/ satu tan untuk syarikat besar (selepas mengambil kira diskaun harga Indonesia sebanyak RM300/setiap tan)," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Memastikan kemampanan industri kelapa sawit Malaysia, boikot bukan jalannya

 

AmInvestment berkata, harga purata MSM seperti yang dilaporkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kekal hampir mendatar pada RM4,011/ setiap tan pada 1H2024 berbanding RM3,921/setiap tan dalam 1H2023.

 

Menariknya kata firma penyelidikan itu, harga MSM di Sabah adalah lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia untuk beberapa waktu, menunjukkan bahawa diskaun pengangkutan telah dihapuskan. 

 

"Kami percaya bekalan sawit di Sabah adalah lebih terhad berbanding Semenanjung Malaysia. Harga purata MSM di Sabah adalah RM4,062/setiap tan pada 1H2024 berbanding RM4,029/setiap tan di kawasan tengah Semenanjung Malaysia," ujarnya.

 

Jelas firma penyelidikan itu, jika dibandingkan dengan 1H2024, pengeluaran buah tandan segar pada 2H2024 dijangka lebih tinggi disebabkan oleh faktor bermusim. 

 

"Pengeluaran BTS di Malaysia biasanya mencapai tahap tertinggi pada bulan Oktober atau November. Separuh kedua biasanya menyumbang antara 55%-60% daripada jumlah pengeluaran BTS untuk keseluruhan tahun," katanya. - DagangNews.com