Permintaan domestik terajui perkembangan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2023 - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan domestik terajui perkembangan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2023 - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Permintaan domestik yang kekal memberangsangkan pada suku kedua (S2) 2023 telah menyokong ekonomi Malaysia, meskipun negara turut terkesan akibat kedinginan pasaran global. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada S2 2023 berkembang sebanyak 2.9%, dan menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama 2023 kepada 4.2%. 

 

Beliau berkata, kadar pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini adalah sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 4% hingga 5% untuk keseluruhan tahun 2023.

 

"Permintaan domestik kekal ampuh pada S2 2023 dengan peningkatan sebanyak 4.5%, manakala jumlah perdagangan luar menguncup 11.3% kepada RM643.4 bilion pada S2 2023. Perbelanjaan awam dan swasta menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, dengan kedua-dua sektor tersebut masing-masing meningkat sebanyak 4.6% dan 4.5%. 

 

"Dari sudut penawaran, perkembangan ekonomi Malaysia pada S2 2023 ini disokong oleh peningkatan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan. Sektor pembinaan mencatat kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.2% diikuti dengan sektor perkhidmatan (4.7%), dan sektor pembuatan (0.1%).

 

"Dalam keadaan pasaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia mampu berdaya�tahan dan menganjak pertumbuhan. Kadar inflasi menurun daripada 2.8% pada Mei 2023 kepada 2.4% pada Jun 2023. Pengangguran berjaya mencatat kadar terendah pascapandemik iaitu 3.4% pada Jun 2023 berbanding 3.5% pada Mei 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inflasi domestik Malaysia pada Jun 2023 adalah rendah berbanding sesetengah ekonomi maju dan serantau seperti UK (7.9%), Filipina (5.4%), Singapura (4.5%), Indonesia (3.5%), dan Amerika Syarikat (3%).

 

Katanya, bagi separuh kedua tahun 2023, permintaan luaran dijangka akan terus terkesan dengan ketidaktentuan global, iaitu ketegangan situasi politik, gangguan dalam rantai bekalan yang berterusan, dasar monetari yang ketat untuk meredakan inflasi global, serta prospek pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama, kebanyakannya adalah rakan dagang Malaysia. 

 

"Namun begitu, kerajaan berpegang teguh kepada unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5%. Landskap ekonomi dalam negeri kekal utuh berdasarkan statistik-statistik yang ada. 

 

"Bagi memacu pertumbuhan dalam negeri, kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal responsif dan meneruskan usaha untuk mempercepatkan pencapaian pelaburan yang telah diluluskan, serta menyegerakan pelaksanaan projek-projek Kerajaan," ujarnya.

 

Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kertas-kertas dasar yakni Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, dan Belanjawan 2024 akan memperhalusi strategi-strategi dan langkah-langkah untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia, serta menjamin pembangunan inklusif untuk rakyat. 

 

Aspek-aspek tumpuan termasuklah menambah baik proses untuk mengendalikan perniagaan, membawa pelaburan-pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan bergaji lebih tinggi, memastikan tatakelola baik, dan memperkukuh perkhidmatan awam yang berkualiti serta prasarana yang lebih baik bagi mempertingkatkan mutu hidup rakyat. - DagangNews.com