Permainan batu seremban, pangkak guli bakal serikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak | DagangNews Skip to main content

Permainan batu seremban, pangkak guli bakal serikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak

KUCHING 4 Ogos - Permainan batu seremban, pangkak guli dan tingting adalah antara aktiviti permainan tradisional yang boleh diikuti para pengunjung dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini.

 

Berdasarkan atur cara yang disediakan, aktiviti itu akan bermula seawal 9 pagi Jumaat sebagai antara sukan rakyat yang akan disajikan untuk pengunjung, selain permainan batak lampung, menyumpit serta aktiviti bakat dan reka cipta untuk kanak-kanak.

 

Sebanyak 28 kaunter perkhidmatan awam yang menyediakan bantuan dan perkhidmatan disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari AKM itu, berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam.

 

Selain itu, turut diadakan Pemadanan Perniagaan, Cabutan Bertuah, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Malam Zikir Berkah ‘Darul Hanna’, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Usahawan IKS, E-Sukan, Sukan Rakyat, Cita Rasa Keluarga Malaysia, trak makanan, Sihat Keluarga Malaysia dan Larian Sihat Keluarga Malaysia.

 

Dengan menyediakan pelbagai gerai yang menjual produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ia membolehkan pengunjung melihat sendiri, serta memberi peluang untuk membeli produk-produk keluaran usahawan tempatan.

 

Selain itu, pelbagai aktiviti dan persembahan menarik diadakan di pentas utama dan pentas mini IKS seperti bicara kerjaya, bengkel seni, seminar, persembahan nyanyian, perasmian penutupan JAKM dan lain-lain lagi, lapor Bernama.

 

Orang ramai yang ingin berkunjung ke AKM boleh membuat pendaftaran awal di https://bit.ly/SARAWAKJAKM dan untuk makluman lanjut melayari laman web www.keluargamalaysia.gov.my. - DagangNews.com