Perlis Inland Port rancakkan dagangan Malaysia-Thailand cecah AS$30 bilion menjelang 2025 - PM | DagangNews Skip to main content

Perlis Inland Port rancakkan dagangan Malaysia-Thailand cecah AS$30 bilion menjelang 2025 - PM

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bergambar ketika Majlis Pelancaran Perlis Inland Port (PIP) dan Bonded Road di Chuping, hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PADANG BESAR 15 Mac - Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) merancakkan perdagangan Malaysia-Thailand yang kini mencatat dagangan terkini sebanyak AS$23.64 bilion untuk 2021 dan daripada jumlah itu, sebanyak AS$10.5 bilion disumbangkan melalui perdagangan di sempadan (border trade).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada AS$30 bilion menjelang 2025. 

 

Beliau berkata, kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

 

"Ketika lawatan rasmi pertama saya ke Thailand pada Februari lepas membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja. 

 

"Penubuhan PIP amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand dan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) dan "Bonded Road" di Chuping, hari ini.

 

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

 

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohammad Haris Kader Sultan turut hadir pada majlis tersebut.

 

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan amat komited dengan pelaksanaan projek PIP melalui penyediaan tiga infrastruktur luaran yang akan menghubungkan PIP iaitu jajaran keretapi (spur line), jejambat (flyover) dan “bonded road” dengan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

 

 

pm

 

 

"Ini merupakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan, sekaligus memastikan pembangunan lebih seimbang dan keterangkuman lebih baik selaras dengan RMK-12. Projek PIP ialah salah satu projek strategik nasional dalam NCER dan pelancarannya amat tepat ketika negara melalui proses pemulihan selepas terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5% dan 6.9% dalam tempoh pemulihan 2022. 

 

Beliau berkata, pelaksanaan program-program modal insan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memberi manfaat kepada 67,935 Keluarga Malaysia dari 30 daerah dalam NCER daripada tahun 2019 sehingga tahun 2021. 

 

 

pm

 

 

"Berdasarkan indikator ekonomi yang positif dan memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia dalam Wilayah ini memperolehi manfaat, Kerajaan Perlis dan NCER perlu terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa," katanya.

 

Beliau berkata, PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

 

"Ini akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA.

 

"Ekoran daripada pelancaran PIP, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan. Walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan," katanya.

 

 

pm

 

 

Beliau berkata, NCIA akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER.

 

Katanya, Perlis sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik. 

 

"Ini dapat dilihat menerusi kenaikan jumlah dagangan melalui negeri Perlis pada tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu sebanyak RM7.9 billion berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020. Penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5% pada suku ke-4 tahun 2021 berbanding 63% bagi tempoh yang sama pada 2020.

 

"Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA," katanya. 

 

Beliau juga menghargai penglibatan syarikat Mutiara Perlis Sdn Bhd yang telah menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan kolaborasi sektor awam-swasta menerusi projek-projek nasional yang dapat membantu memulihkan ekonomi negara.

 

"Projek strategik nasional berimpak tinggi seperti PIP ini dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di samping memberi kesan limpahan ekonomi ke negeri-negeri lain ke dalam NCER, Insya-ALLAH," katanya. - DagangNews.com