Perdana Petroleum terima 5 kontrak sewa kapal bernilai RM68 juta daripada Petronas Carigali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Petroleum terima 5 kontrak sewa kapal bernilai RM68 juta daripada Petronas Carigali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Perdana Petroleum Bhd melalui anak syarikatnya, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB), telah memperoleh empat lanjutan kontrak dan satu kontrak baharu daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dengan nilai kumulatif RM68 juta.

 

Pengendali kapal sokongan luar pesisir itu berkata, tiga lanjutan kontrak berkenaan adalah untuk penyediaan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) manakala satu lagi untuk tongkang kerja penginapan (AWB).

 

Pemberian kontrak baharu pula melibatkan penyediaan AHTS termasuk anak kapal dan peralatan bernilai RM17.1 juta bagi tempoh 238 hari bermula daripada tarikh sijil sewa kapal.

 

Kontrak itu memerlukan PNSB memberi perkhidmatan berterusan 24 jam kepada PCSB bagi membantu dan/atau menservis pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang derik, kerja menunda dan berlabuh.

 

Sebaliknya, kontrak AWB bernilai RM19.8 juta dilanjutkan selama 271 hari mulai 4 November 2023.

 

Selain itu, kontrak AHTS bernilai RM9.1 juta dilanjutkan sehingga 140 hari mulai 24 Januari 2024.

 

Satu lagi kontrak AHTS bernilai RM13.7 juta telah dilanjutkan sehingga 244 hari mulai 29 November 2023.

 

Selain itu, kontrak AHTS bernilai RM8.3 juta telah dilanjutkan sehingga 254 hari bermula pada 21 Nov 2023.

 

Perdana Petroleum berkata, semua lanjutan kontrak dan kontrak baharu itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Pada pukul 9:25 pagi ini, saham Perdana Petroleum telah menokok 1 sen atau 4.1% kepada 25.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM566.2 juta. - DagangNews.com