Perdagangan Malaysia meningkat kepada RM184.75 bilion pada Februari 2022 | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia meningkat kepada RM184.75 bilion pada Februari 2022

KUALA LUMPUR 18 Mac - Perdagangan Malaysia meneruskan trajektori meningkatnya pada Februari 2022, mencatatkan pertumbuhan 2 digit bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan.

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perdagangan meningkat sebanyak 17.5% kepada RM184.75 bilion berbanding Februari 2021, menandakan pertumbuhan 2 digit bagi 13 bulan berturut-turut.

 

Katanya, eksport melepasi paras RM100 bilion meningkat sebanyak 16.8% kepada RM102.27 bilion, pertumbuhan 2 digit bagi tujuh bulan berturut-turut manakala import berkembang 18.4% kepada RM82.48 bilion dan lebihan perdagangan tumbuh 10.7% kepada RM19.79 bilion.

 

“Pertumbuhan eksport disokong oleh penghantaran tinggi produk elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu oleh trend pendigitalan global serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit. 

 

“Eksport ke pasaran utama, terutamanya ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, merekodkan pertumbuhan dua digit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) hari ini.

 

Perdagangan, eksport dan import bagi bulan ke bulan bagaimanapun masing-masing susut sebanyak 9.2%, 7.9% dan 10.8% berikutan hari bekerja yang singkat dan musim perayaan pada Februari. Lebihan sebaliknya, perdagangan meningkat sebanyak 6.6%.

 
Bagi tempoh 2 bulan pertama 2022, perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 2010. 

 

Perdagangan melonjak sebanyak 21.4% peratus tahun ke tahun kepada RM388.33 bilion; dengan eksport naik 20.4% tahun ke tahun kepada RM213.34 bilion,import meningkat 22.6% tahun ke tahun kepada RM174.99 bilion dan lebihan perdagangan menokok 11.2% tahun ke tahun kepada RM38.35 bilion.

 

Produk elektrik dan elektronik menyumbang 38.8% daripada jumlah eksport iaitu sebanyak  RM39.65 bilion, meningkat 25.8% tahun ke tahun daripada Februari 2021, manakala eksport produk petroleum naik 9.6% tahun ke tahun kepada RM7.32 bilion, menyumbang 7.2% daripada jumlah eksport.

 

Sementara itu, kimia dan produk kimia berkembang sebanyak 28.2% tahun ke tahun kepada RM6.64 bilion, menyumbang 6.5% daripada jumlah eksport.

 

Minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit melonjak sebanyak 58.9% tahun ke tahun kepada RM6.26 bilion atau 6.1% daripada jumlah eksport dan pembuatan logam meningkat 31.8% tahun ke tahun kepada RM4.95 bilion atau 4.8% daripada jumlah eksport.
 

Mohamed Azmin berkata, pada Februari 2022, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 27.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 24.6% tahun ke tahun kepada RM51.03 bilion.

 

Semasa bulan tersebut, katanya, perdagangan dengan China, yang mewakili 17.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 11.9% tahun ke tahun kepada RM32.18 bilion.

 

"Eksport ke China mencatatkan pertumbuhan 19.2% tahun ke tahun kepada RM15.28 bilion susulan eksport tinggi produk E&E serta kimia dan produk kimia, manakala import dari negara tersebut meningkat sebanyak 6% kepada RM16.9 bilion," katanya.

 

Perdagangan dengan EU pula menyumbang 8.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2022, berkembang sebanyak 17.8% tahun ke tahun kepada RM15.03 bilion.

 

Eksport ke EU meningkat sebanyak 18.5% kepada RM9.17 bilion, pertumbuhan 2 digit bulan kelima berturut-turut, dipacu oleh eksport tinggi produk E&E serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit manakala import dari EU meningkat 16.9% tahun ke tahun kepada RM5.86 bilion. - DagangNews.com