KUALA LUMPUR 12 Julai - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.6% tahun ke tahun pada Mei 2023 dengan nilai jualan RM138 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, ia disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 22% atau RM3.1 bilion kepada RM17 bilion.
Katanya, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 5% atau RM2.8 bilion kepada RM58.8 bilion diikuti oleh perdagangan borong yang meningkat 4.4% atau RM2.6 bilion untuk berada pada RM62.2 bilion.
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.5% disumbankan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing 16.2% dan 2.1%.
"Bagi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 22% dalam kenderaan bermotor pada bulan ini didorong jualan keadaan bermotor yang melonjak 29.8% atau RM2.1 bilion kepada RM8.9 bilion. Ini diikuti oleh jualan kompenen dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor masing-masing naik 17.7% dan 20.4%.
"Bagaimanapun, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal menurun 5%. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini melonjak sebanyak 16.2% disumbangkan oleh semua kumpulan dalam subsektor ini terutamanya jualan kenderaan bermotor dengan 30.8%," katanya dalam kenyataan media di sini.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, DOSM berkata, kenaikan 5% pada Mei 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang bertumbuh 8.4% atau RM1.7 bilion kepada RM22.5 bilion.

Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan 6%, jualan runcit makanan, minuman dan tembakau 10%, jualan runcit bahan api kenderaan (6%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (2.5%) dan jualan runcit di gerai dan pasar (6%).
"Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menurun 2.7% dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan negatif," katanya.
DOSM turut memaklumkan bahawa peningkatan 4.4% dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat RM1.1 bilion atau 9.6% kepada RM12.3 bilion.
"Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah 7.9%, jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, (8.6%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (5.8%), perdagangan borong tanpa tanpa pengkhususan (11.6%) dan jual borong berdasarkan konrak atau yuran (7.3%).
"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong naik 2.1%, terutamanya disumbangkan oleh jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dan lain lain pengkhususan jualan borong masing-masing meningkat 7.5% dan 1.1%
DOSM berkata, bagi indeks jualan runcit melalui internet, ia merekodkan -0.8% tahun ke tahun pada Mei 2023 berbanding 4.1% pada April 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menguncup -5.5% berbanding bulan sebelumnya.
Katanya bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Mei 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.6%.
"Pengembangan itu disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor 17.8%. Perdagangan borong (5.3%) dan perdagangan runcit (2.4%). Bagi indeks volum pelarasan musim, ia merosot -4.1% bulan ke bulan," katanya. - DagangNews.com








