Perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan 14.7% pada Februari 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan 14.7% pada Februari 2023 - DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Indeks perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 14.7% dengan nilai jualan berjumlah RM134.3 bilion pada Februari 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit sebanyak 19.2% kepada RM58.2 bilion daripada RM9.4 bilion, diikuti kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang masing-masing naik 36.1% (RM16.9 bilion) dan 5.9% (RM59.1 bilion).

 

“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menyusut 0.6%, disebabkan subsektor borong dan runcit masing-masing merosot 2% dan 2.4%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 19.2% pada Februari 2023 merekodkan tiga jualan runcit tertinggi pada bahan api kenderaan sebanyak 45.9%, diikuti di kedai pengkhususan (24.2%) dan di kedai bukan pengkhususan (21.1%).

 

Sementara itu, subsektor perdagangan borong didorong oleh peningkatan jualan borong pada barangan isi rumah sebanyak 15.8%, diikuti makanan, minuman dan tembakau (9.9%); bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (10%); dan jualan borong bukan pengkhususan (6.1%).

 

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menurun 2% disebabkan penguncupan 5.1% dalam jualan borong makanan, minuman dan tembakau kepada RM12 bilion, tambahnya.

 

 

dosm

 

 

“Indeks jualan runcit melalui Internet pada Februari 2023 merekodkan pertumbuhan 9.4% tahun ke tahun berbanding Januari 2023 sebanyak 9.6%.

 

Bagi nilai indeks volum pelarasan musim, perdagangan runcit merosot 1.7% berbanding bulan sebelum,” katanya.

 

Menurut Mohd Uzir, indeks volum perdagangan borong dan runcit pada Februari 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.6%, disumbangkan oleh kenderaan bermotor yang meningkat 24%.

 

Perdagangan runcit dan perdagangan borong juga merekodkan pertumbuhan positif dengan peningkatan masing-masing 13.9% dan 3.4%, manakala indeks volum pelarasan musim meningkat 5.5% bulan ke bulan. -DagangNews.com