KUALA LUMPUR 31 Julai - Apex Security menyemak turun unjuran pendapatan Tasco Bhd bagi FY25 sebanyak RM64.2 juta kesan penyusutan hasil daripada segmen rumusan perniagaan domestik (DBS) dan kadar sewaan gudang.
Firma penyeldikan itu juga kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan itu kerana kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran termasuk kadar pengangkutan yang lebih tinggi bagi perniagaan penghantaran barang antarabangsa serta peningkatan kos faedah.
"Walaupun terdapat pemulihan dalam aktiviti perdagangan dan sektor elektrik dan elektronik (E&E), landskap operasi industri logistik kekal mencabar, disebabkan oleh ketegangan geopolitik global, kadar pengangkutan yang tidak menentu, kadar faedah tinggi yang berpanjangan dan tekanan inflasi.
"Kami bagaimanapun optimis terhadap pembangunan kapasiti gudang kumpulan yang dijangka mewujudkan kesan sinergi dan memacu jualan dalam segmen perniagaan lain pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Tasco susut lebih 50% kepada RM7 juta pada 1QFY25
Apex Security berkata, keputusan yang dilaporkan itu gagal mencapai unjuran kami dengan keuntungan bersih teras hanya menyumbang 13% daripada ramalan tahun penuh dan konsensus.
Katanya, perbezaan itu disebabkan kuasa penawaran yang lebih rendah daripada pelanggan dengan kadar tambang yang lebih tinggi dan hasil yang lebih rendah daripada jangkaan daripada perniagaan domestik.
Keuntungan sebelum cukai bagi segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS) kumpulan merosot 31.9% disebabkan margin yang lebih rendah hasil daripada kos pembelian yang lebih tinggi berbanding harga kontrak pelanggan.
Segmen rumusan perniagaan domestik (DBS) mengalami kemerosotan hasil bagi suku tersebut, turun 10% disebabkan penyusutan dalam penghantaran daripada pelanggan tenaga utama yang terjejas oleh sekatan Amerika Syarikat (AS).
"Bagaimanapun, di sebalik hasil yang lebih rendah, kumpulan itu berjaya mengekalkan keuntungan dalam DBS dengan margin yang lebih baik, disokong oleh penghunian gudang yang lebih tinggi," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham. - DagangNews.com








