Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah di Malaysia adalah tertinggi di Asia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah di Malaysia adalah tertinggi di Asia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 April - Malaysia memiliki peratusan tertinggi wanita sebagai ahli lembaga pengarah di Asia pada 26% berbanding purata global sebanyak 19.7%, menurut kajian terkini oleh Deloitte dengan kerjasama The 30% Club.

 

Malah, peratusan tertinggi juga dicatatkan berbanding Singapura pada 17.6%, Thailand (17.8%) dan Hong Kong (13.9%).

 

Selain itu, Malaysia juga memiliki peratusan ketua pegawai kewangan wanita paling tinggi dalam kalangan negara Asia sebanyak 34.9%, lebih 2 kali ganda daripada purata global pada 15.7%.

 

Bagaimanapun, negara dilihat masih ketinggalan 4% daripada sasaran 30% penyertaan wanita dalam lembaga pengarah seperti ditetapkan pada 2020.

 

Sasaran itu ditetapkan oleh kerajaan pada 2011 menerusi Pelan Tindakan Tadbir Urus (CG) Korporat 2011 dan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021 (MCCG 2021) menyatakan jika sasaran ini tidak dipenuhi, lembaga berkenaan akan mengumumkan pelan khusus serta jangka masa bagi mencapai tahap tersebut.

 

Lembaga itu juga akan mengkaji semula penyertaan wanita dalam peranan pengurusan kanan untuk memastikan terdapat kumpulan bakat yang mantap.

 

Pengarah Eksekutif Nasihat Risiko Deloitte Malaysia, Muzafar Kamal berkata, penglibatan aktif daripada lembaga amat diperlukan dengan sokongan jawatankuasa, contohnya, Jawatankuasa Pencalonan untuk mendorong agenda ini dalam sesebuah organisasi.

 

"Adalah disyorkan supaya organisasi mempunyai pelan penggantian yang komprehensif dan boleh digunakan untuk bukan sahaja mengenal pasti calon untuk kedua-dua Lembaga dan Pasukan Pengurusan, tetapi juga untuk tujuan latihan dan pembangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kajian itu menunjukkan walaupun sasaran 30% masih belum dicapai, tetapi topik kepelbagaian jantina yang lebih besar dalam lembaga pengarah dan tenaga kerja terus berada di barisan hadapan perbincangan dalam kalangan pengawal selia dan organisasi.

 

Antara perubahan ketara di bawah semakan 2021 kepada MCCG ialah lanjutan 30% keperluan kepelbagaian jantina kepada semua syarikat, bukan hanya syarikat besar (syarikat dalam Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia atau syarikat dengan permodalan pasaran RM2 bilion dan ke atas).

 

Edisi ketujuh laporan yang berjudul 'Wanita Dalam Lembaga Pengarah: Satu Perspektif Global' itu turut mendedahkan peratusan wanita di kerusi lembaga pengarah bagi rantau Asia Tenggara adalah lebih baik dengan purata 17.1% berbanding 14.3% pada 2018.

 

Angka tersebut mengatasi purata Asia sebanyak 11.7% dan sedang menghampiri purata global pada 19.7%.

 

Berdasarkan kajian itu juga didapati, tempoh wanita di kerusi lembaga pengarah di Asia Tenggara sama ada kekal stabil atau mengalami penurunan, dengan tempoh purata telah menurun paling mendadak di Singapura, daripada 5.0 tahun kepada 4.4 tahun.

 

Peratusan perubahan untuk penggal jawatan juga telah menurun untuk Malaysia dan Filipina, yang mungkin disebabkan oleh kumpulan calon wanita yang lebih luas di negara-negara ini memandangkan penyertaan wanita secara keseluruhan dalam lembaga pengarah telah meningkat. - DagangNews.com