Penyerahan OPV tertunda, APMM terus dibelenggu isu kekurangan aset | DagangNews Skip to main content

Penyerahan OPV tertunda, APMM terus dibelenggu isu kekurangan aset

embinaan tiga kapal OPV sepatutnya menjadi aset penting kepada armada APMM.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 28 Mac - Filem aksi, 'Coast Guard Malaysia: Ops Helang' mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan mencecah RM5 juta dalam tempoh dua minggu ditayangkan.

 

Dengan tayangan pada lebih 100 buah pawagam di seluruh negara sejak Februari, filem berkisar kehandalan dan kecekapan pasukan Maritim Malaysia (APMM) ini dilihat berjaya membawa imej positif.

 

Terbaru, filem tersebut bakal menjengah ke kaca televisyen menerusi saluran berbayar ini telah dicalon menyertai Festival Filem Far East Udine di Itali.

 

Filem terbitan Flying Deals dan Arie Zaharie Production yang menelan belanja sebanyak RM13 juta ini mendapat kerjasama APMM sepenuhnya.

 

Menerusi layar perak, kewibaan APMM sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim berjaya ditonjolkan dengan aset-aset seperti kapal peronda, helikopter dan paling utama ialah Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).


 

parafrasa

 


Bagaimana pun, keadaan sebenar pasukan ini masih jauh berbanding sepertimana dipaparkan dalam filem apabila APMM berhadapan dengan isu serius iaitu kekurangan aset-aset untuk beroperasi.

 

APMM masih dibelenggu dengan isu sama apabila janji untuk penyerahan kapal peronda pesisir yang pertama (OPV1) oleh kerajaan yang sepatutnya pada Mac ini tidak dapat disempurnakan.

 

Difahamkan penyerahan kapal tersebut hanya akan dilakukan pada Julai nanti.

 

Kapal ini masih dalam fasa ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru.

 

Dengan kelewatan tersebut, dijangka kapal peronda kedua atau OPV2 juga akan mengalami kelewatan.

 

Mengikut jangkaan sebelum ini, OPV2 diserahkan pada penghujung tahun ini iaitu beberapa bulan selepas siap OPV1.


 

parafrasa

 


Berkemungkinan juga kapal OPV2 akan diserahkan pada masa yang sama dengan kapal ketiga (OPV3) pada tahun hadapan, itu pun jika kapal-kapal tersebut dapat disiapkan mengikut jadual.

 

Situasi ini jelas mengundang rasa kecewa pada bekas Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som apabila hasrat beliau untuk melihat kapal berkenaan diterima tidak menjadi kenyataan sehingga pada tarikh persaraan pada 19 Mac lalu.

 

Ketika ditemui pemberita pada majlis persaraan beliau, Mohd Zubil berharap OPV1 dapat diserahkan selewat-lewatnya pada tahun ini supaya ia boleh digunakan untuk operasi keselamatan di perairan negara. 


 

Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som

 


Tiga kapal OPV ini sepatutnya menjadi tambahan penting kepada armada APMM yang dibina khusus bagi melakukan rondaan di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

 

OPV yang dibina berasaskan kapal kelas Damen seberat 1,800 tan dengan panjang 83 meter ini mampu melakukan rondaan selama 28 hari secara berterusan.

 

Kelewatan menerima OPV1 juga merencatkan jangkaan untuk kapal ini terlibat pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 Mei ini.

 

Jika siap, sepatutnya penyertaan kapal OPV1 ini menjadi titik penting pada APMM selain dapat mempamerkan aset baharu kepada umum.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Januari lalu berkata, dua buah OPV akan disiapkan dan diserahkan kepada APMM tahun ini mengikut tempoh ditetapkan iaitu masing-masing pada Mac dan Oktober.

 

Beliau yang ketika itu mengadakan lawatan ke atas OPV1 yang dalam fasa ujian bagaimana pun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal berkenaan.


 

OPV
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima dari kanan) bersama timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (enam dari kanan) dan Mohd Zubil (empat dari kiri) ketika melawat OPV1 tahun lalu.


 

Namun tegasnya, kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah tetapi situasi terbaharu ini menunjukkan sebaliknya.

 

Sepertimana dilaporkan DagangNews sebelum ini, kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek kapal OPV APMM yang kini diambil alih Kementerian Kewangan (MOF) disiapkan tahun ini.

 

Ia umpama kerajaan membayar kepada kerajaan untuk menyelamatkan projek disebabkan kelemahan syarikat yang dilantik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MOF ambil alih projek kapal peronda luar pesisir THHE-Destini, sedia pinjaman RM153 juta

 

Syarikat THHE Destini memperoleh kontrak sebanyak RM738.9 juta daripada kerajaan pada Januari 2017 untuk membekal, menguji dan mentauliah tiga buah OPV untuk APMM dalam tempoh 42 bulan.

 

THHE-Destini dimiliki 51 peratus oleh Destini Berhad manakala 49 peratus dimiliki oleh TH Heavy Engineering Bhd.  

 

Bagaimana pun, pada akhir 2021, TH Heavy Engineering membeli 51 peratus saham yang dimiliki oleh Destini.


 

parafrasa
Kelewatan penyerahan OPV1 memanjangkan lagi tempoh yang terpaksa ditunggu APMM untuk menerima kesemua kapal.

 


Pada tahun lalu, OPV1 yang dinamakan Tun Fatimah sepatutnya dilancarkan ke air pada 13 September di Limbungan TH Heavy Engineering di Pelabuhan Klang sebelum tarikh pelancarannya dilanjutkan pada 11 Oktober.

 

Mengikut kontrak asal, projek OPV APMM ini sepatutnya siap pada tahun 2020 iaitu tiga tahun lepas.

 

Malang bagi APMM apabila terpaksa menunggu setahun lagi sebelum tiga OPV ini dapat belayar membelah samudera. - DagangNews.com