Penyelesaian Kill Switch Maybank perkenal ciri keselamatan baharu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyelesaian Kill Switch Maybank perkenal ciri keselamatan baharu 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Penyelesaian Kill Switch Maybank memperkenalkan ciri tambahan keselamatan baharu sebagai tambahan kepada ciri penyahaktifan akses Maybank2u yang dilancarkan pada akhir Januari tahun ini. 

 

Maybank dalam kenyataan hari ini berkata, ciri tambahan keselamatan baharu melalui web Maybank2u (M2U) dan aplikasi MAE akan membolehkan pelanggan menyekat penggunaan kad kredit dan kad caj mereka buat sementara waktu jika mereka mengesyaki kad mereka telah terjejas.

 

Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maybank meningkatkan lagi keselamatan perbankan dalam talian dan komitmen tinggi memerangi penipuan dengan memberi kuasa kepada pelanggan mengawal secara langsung kad kredit dan kad caj mereka serta memastikan dana mereka selamat serta dilindungi.

 

"Untuk mengukuhkan lagi keselamatan perbankan dalam talian dan mewujudkan platform digital yang lebih selamat untuk pelanggannya, Secure2u Maybank telahpun dijadikan satu-satunya kaedah kebenaran untuk transaksi dalam talian (FPX) bagi semua jumlah sejak 5 April 2023," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Datuk John Chong berkata, agenda Maybank yang lebih besar adalah untuk mewujudkan ekosistem digital lebih selamat, yang akan meningkatkan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur yang mempunyai keperluan sentiasa berkembang, serta memacu negara untuk lonjakan digital dan menaikkan pertumbuhan ekonomi.

 

“Sehubungan itu, kami juga mahu berada di samping pelanggan kami pada waktu yang mencabar ini dan bersama-sama memenangi peperangan ini dengan memperkenalkan penyelesaian Kill Switch holistik dalam pasaran merangkumi pelbagai sudut keselamatan perbankan dalam talian. 

 

"Lebih-lebih lagi, pada masa kini di mana penipu menjadi lebih berani dan lebih kreatif dengan mengunakkan cara baharu untuk mengatur taktik penipuan mereka," katanya.

 

Tambah beliau, ia juga selaras dengan teras strategik M25+ Kumpulan, untuk memperhebatkan tumpuan pelanggan serta mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi.

 

Ini kerana katanya, Maybank sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggannya diutamakan, terbukti melalui peningkatan yang kerap kepada sistem perbankan dalam taliannya.

 

Ciri baharu ini boleh diaktifkan melalui web Maybank2u atau aplikasi MAE dan setelah didayakan, semua transaksi keluar pada kad kredit dan caj yang disekat tidak akan diproses.

 

Atas sebab keselamatan, setelah disekat, pelanggan hanya boleh mengaktifkan semula kad mereka dengan mengesahkan diri mereka di cawangan terdekat atau melalui Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1300 88 6688. 

 

Ini juga akan menghalang penipu atau mana-mana pihak yang tidak dibenarkan daripada terus mengakses kad mereka. - DagangNews.com