Penutupan operasi Stesen Penyelidikan MPOB Belaga disebabkan langkah penjimatan kos pengurusan, penyelenggaraan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penutupan operasi Stesen Penyelidikan MPOB Belaga disebabkan langkah penjimatan kos pengurusan, penyelenggaraan

Stesen Penyelidikan MPOB Belaga
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei - Stesen Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Belaga yang menjalankan kegiatan agronomi dan aktiviti penyelidikan ditutup dan kakitangannya telah dipindahkan ke Stesen Penyelidikan MPOB Sessang.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penutupan operasi stesen tersebut antara langkah bagi menjimatkan kos pengurusan dan penyelenggaraan Stesen Belaga yang tinggi kerana keadaan topografi dan pulangan hasil buah tandan segar yang rendah. 

 

"Bagaimanapun, operasi Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) yang ditempatkan di Stesen MPOB Belaga ini masih diteruskan dan dibuka secara berkala, dua hari seminggu bagi memberi perkhidmatan kepada pekebun kecil di kawasan sekitar Sungai Asap," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pekebun kecil di daerah Belaga juga boleh mendapatkan perkhidmatan pegawai TUNAS untuk tujuan permohonan dan pembaharuan lesen di pejabat MPOB di Bintulu.  

 

Di daerah Belaga hanya terdapat satu Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dengan bilangan pekebun kecil seramai 1,937 orang dengan jumlah kawasan tanaman berkeluasan 9,731.9 hektar.

 

Pekebun kecil yang menyertai SPOC dibantu pegawai TUNAS MPOB bagi melaksanakan amalan pertanian baik dan membantu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kebun sawit secara berkelompok.

 

Untuk rekod, Stesen Penyelidikan MPOB Belaga yang terletak di daerah kecil Sungai Asap, Belaga kira-kira 155 kilometer daripada bandar Bintulu, ditubuhkan pada 2009 di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.

 

 

MPOB
                                          Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

Stesen itu, dengan keluasan kompleks seluas 6.252 hektar mula beroperasi pada 2012. - DagangNews.com