Peningkatan kos operasi dan penggunaan kilang yang rendah, Maybank IB unjur sektor sarung tangan terus catat kerugian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan kos operasi dan penggunaan kilang yang rendah, Maybank IB unjur sektor sarung tangan terus catat kerugian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan sektor sarung tangan akan terus berdepan kerugian pada separuh kedua tahun ini.

 

Firma itu berkata, prospek pendapatan yang lemah itu berpunca daripada kadar penggunaan kilang yang rendah dan kos operasi yang meningkat.

 

Katanya, aktiviti penyimpanan semula yang dijangkakan tidak berlaku pada jun 2023 seperti yang diunjurkan. 

 

"Sebaliknya, kami mengesyaki beberapa pesanan telah beralih kepada China, didorong oleh harga yang lebih murah iaitu AS$14 hingga AS$17 bagi setiap seribu keping berbanding AS$19 hingga AS$21 di Malaysia.

 

"Pembuat sarung tangan menghadapi kelemahan pelanggan yang ketara terhadap peningkatan purata harga jualan (ASP) dan mungkin perlu meneruskan penjimatan kos hasil daripada penurunan kos bahan mentah dan tenaga untuk mendapatkan jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bagi Hartalega, mereka akan terus terjejas oleh peruntukan kos dan perbelanjaan obligasi kontrak kira-kira RM70 juta hasil daripada penamatan kemudahan Bestari Jaya pada FY23/24

 

Katanya, memandangkan kadar penggunaan kilang yang rendah iaitu 22% hingga 50%, sebarang peningkatan dalam pesanan boleh diserap dengan mudah, menyebabkan potensi peningkatan terhad untuk ASP.

 

"Pengeluar sarung tangan utama Malaysia kini mengunjurkan pengimbangan semula permintaan dan bekalan menjelang akhir 2024/2025 (dari akhir 2023), dengan menganggap tiada kapasiti tambahan daripada rakan mereka di China," katanya.

 

Firma itu percaya bahawa kunci kira-kira yang kukuh, kecekapan kos, produktiviti dan kemajuan teknologi adalah faktor penting membolehkan pembuat sarung tangan untuk menahan kemelesetan dan menyediakan penampan kewangan sekiranya berlaku kemerosotan sektor atau perang harga.

 

Firma itu kekal dengan penarafan negatif terhadap sektor itu. - DagangNews.com