Peningkatan jumlah pesakit kardiovaskular rencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia - pakar perubatan | DagangNews Skip to main content

Peningkatan jumlah pesakit kardiovaskular rencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia - pakar perubatan

(Dari kiri) Pengarah Urusan IQVIA, Jonathan Roberts, Dr Sri Wahyu Taher, Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad, Datuk Seri Dr Azhari Rosman, Datuk Dr Zanariah Hussein dan Prof Dr Asrul Akmal Shafie ketika majlis pelancaran kertas kerja Heart Matters di ibu negara pada 8 Jun 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun - Peningkatan jumlah pesakit kardiovaskular (CVD) saban tahun sejak 2006 memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan produktiviti sekiranya tidak dirawat dengan segera.

 

Pakar Perunding Kanan Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata, kadar kematian pesakit bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga, tetapi juga menyebabkan negara menangung bebanan ekonomi.

 

Lebih membimbangkan katanya, kos perubatan akan terus meningkat sekiranya tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit itu.

 

"Statistik menunjukkan pesakit golongan muda di Malaysia cukup membimbangkan dan permulaan kes CVD dengan purata pesakit berusia 56 hingga 59 tahun adalah lebih muda berbanding negara maju.

 

"Kini trend tersebut telah berubah kerana kira-kira 25% pesakit adalah di bawah usia 50 tahun,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kertas kerja 'Heart Matters' yang menggariskan masalah kolestrol tinggi sebagai faktor risiko utama kardiovaskular yang paling didiagnosis.

 

Terdahulu, majlis tersebut turut meliputi sesi perbincangan daripada lima pakar perubatan, antaranya Wan Azman, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Sri Wahyu Taher; Pakar Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Rosman; Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Datuk Dr Zanariah Hussein dan Pensyarah Farmakoekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Asrul Akmal Shafie.

 

 

wan ppum
                            Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad

 

 

Menurut Wan Azman, jumlah kematian penyakit tersebut juga dijangka meningkat sebanyak 31,000 kes menjelang 2025.

 

Beliau berkata, pesakit perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan masalah penyakit CVD yang disebabkan kolestrol tinggi, pemakanan dan gaya hidup dapat dicegah.

 

 

kardio

 

 

Katanya, menerusi teknologi dan inovasi terkini dalam bidang perubatan, ia mampu merawat pesakit dengan lebih efisien, namun menelan kos perbelanjaan yang tinggi kepada pesakit.

 

"Sejak awal tahun ini, hospital-hospital terpilih mula menawarkan rawatan CDV yang lebih efisien yang mana pesakit hanya perlu datang dua kali dalam tempoh setahun berbanding sebelum ini perlu datang pada setiap tiga bulan sekali," katanya. - DagangNews.com