Peningkatan akses perhubungan Johor-Singapura kukuhkan lagi prospek Focus Point - HLIB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan akses perhubungan Johor-Singapura kukuhkan lagi prospek Focus Point - HLIB Research

Gambar Focus Point
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Prospek Focus Point pada separuh kedua 2024 (2H24) diramal kekal cerah susulan peningkatan jumlah pelancong asing di Johor dan Lembah Klang yang membantu meningkatkan permintaan untuk produk optik syarikat itu.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) berkata, apatah lagi dengan rancangan peningkatan kesalinghubungan ntara Singapura dan Johor yang menyaksikan prospek Focus Point sebagai sangat menjanjikan.

 

Katanya, peningkatan permintaan akan membolehan Focus Point mendapat rebat daripada penjualan produk optik oleh pembekal mereka pada suku keempat kelak.

 

"Dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B), kumpulan ini menjangkakan prestasi yang baik dengan peningkatan permintaan untuk unit penyimpanan stok (SKU) oleh pelanggan utama.

 

"Memandangkan prestasi jualan yang baik, kami percaya kumpulan ini berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai ramalan pendapatan dan keuntungan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah HLIB, dengan jumlah kanak-kanak dan generasi  muda yang semakin ramai mengalami gangguan optik, perniagaan optik Focus Point mempunyai banyak ruang untuk berkembang.

 

Katanya, Focus Point juga menawarkan peluang pelaburan yang baik dalam perbelanjaan pengguna di Johor, memandangkan kedekatannya dengan Singapura dan peningkatan aksesibiliti antara kedua-dua negara.

 


"Kumpulan ini akan mengumumkan keputusan 2QFY24 pada 22 Ogos ini. Jangkaan pertumbuhan yang kukuh tahun ke tahun untuk 2QFY24. Kami menganggarkan keuntungan bersih mungkin mendekati RM8 juta pada 2QFY24.

 

"Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh bahagian optik yang kukuh dengan usaha pemasaran kumpulan yang dipertingkatkan (memanfaatkan Teknologi AI Airdoc di kedai Focus Point, memperluaskan asas pelanggan korporat, dan kedai sightsavers).

 

"Ini juga disokong oleh prestasi perniagaan F&B yang baik dengan penyelesaian isu pekerja asing (mengurangkan tekanan kos dengan pengurangan pekerja asing) dan peningkatan permintaan untuk SKU oleh pelanggan utama mereka," katanya dengan saranan 'Beli'.- DagangNews.com