Pengunjung teruja pelbagai program menarik di Jelajah AKM Kelantan | DagangNews Skip to main content

Pengunjung teruja pelbagai program menarik di Jelajah AKM Kelantan

oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 22 Julai - Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keenam di Kelantan hari ini membuka tirainya di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini dengan program pertama anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) iaitu Bicara Ulama Nusantara.

 

Seawal 9 pagi, pengunjung mula memenuhi pentas utama untuk mendengar kupasan yang bertajuk 'Memperteguh Kesatuan Ummah' disampaikan tokoh agama terkenal Baba Ghazali Ahmad Al-Fatani dari Pattani, Thailand dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan & Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. 


 

AKM

 

AKM
Sebahagian pengunjung yang hadir mendengar Bicara Ulama Nusantara sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan hari ini.

 


Turut berlangsung di pentas mini Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pula ialah program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Bijak Beli Rumah, taklimat keselamatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan serta saringan awal untuk peserta e-sukan.

 

Rata-rata pengunjung yang ditemui DagangNews.com melahirkan keterujaan mereka dapat hadir ke Jelajah AKM untuk melihat sendiri tawaran perkhidmatan yang dibawa oleh 26 kementerian untuk rakyat Kelantan dalam edisi kali ini.

 

Pasangan suami isteri, Badiah Syukri, 31 dan Faiz Ismail, 27 berkata mereka datang ke Jelajah AKM kali ini khusus untuk mendengar sendiri Bicara Ulama Nusantara secara langsung di perkarangan stadium itu.

 

"Walaupun kami tahu program ini turut disiarkan secara langsung melalui Facebook, sudah tentulah pengalamannya tidak sama dengan datang sendiri ke sini untuk menadah ilmu bersama ribuan pengunjung yang lain.


 

Badiah Syukri
Badiah Syukri

 


"Sudah dua tahun tidak diadakan aktiviti berskala besar sebegini. Oleh itu, saya dan suami memang rancang untuk hadir melihat apa sahaja peluang atau promosi perniagaan yang ada untuk kami cuba manfaatkannya," katanya yang datang dari Bachok.

 

Selain Jualan Keluarga Malaysia, turut menjadi tumpuan pengunjung pada Jelajah AKM kali ini ialah reruai syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Unifi, Digi dan Celcom yang menawarkan pelbagai pakej menarik untuk pelanggan.

 

 Acara menarik lain yang disediakan sepanjang Jelajah AKM Kelantan berlangsung ialah  Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, persembahan kebudayaan dan sukan rakyat tradisional, bekwoh (kenduri rakyat) dan pertandingan Muay Thai.


 

AKM
Kaunter pendaftaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan diserbu ribuan pengunjung pagi ini.

 


Seorang lagi pengunjung, Rosnani Harun, 47, berkata promosi Jelajah AKM sangat hebat di televisyen, media sosial dan radio menyebabkan beliau datang bersama anaknya untuk mengetahui kemudahan terkini yang disediakan untuk rakyat oleh semua agensi dan jabatan kerajaan.

 

"Saya juga sangat berpuas hati dapat menjelajah ke bahagian jualan dan pameran usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kerana banyak promosi jualan istimewa yang ditawarkan oleh  mereka. Boleh dikatakan semuanya lebih murah berbanding harga di pasaran membuatkan pengunjung jadi rambang mata.


 

Rosnani Harun
Rosnani Harun

 


"Terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah menganjurkan Jelajah AKM di Kelantan kali ini kerana ia sangat memberi inspirasi dan penuh informasi untuk rakyat," katanya.

 

Selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu dan Perak, penganjuran Jelajah AKM diteruskan lagi di Kelantan dengan objektif membawa perkhidmatan kerajaan kepada rakyat supaya slogan Keluarga Malaysia benar-benar difahami segenap lapisan masyarakat. - DagangNews.com