KOTA BHARU 24 Julai - "Ado blako..srupo di Putrajaya (macam-macam kementerian ada, sama seperti di Putrajaya)."
Itu reaksi pengunjung yang hadir ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi keenam di negeri Kelantan yang berlangsung tiga hari sejak Jumaat lepas di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Kehadiran penjawat awam dari 26 kementerian itu ternyata memberi kepuasan kepada rakyat Kelantan kerana dapat memperolehi pelbagai informasi dan aspirasi Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Seorang pengunjung, Anis Muhammad Nordin, 25, berkata, dia datang ke Jelajah AKM untuk mencari informasi berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) untuk adiknya meneruskan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Keputusannya kurang memberangsangkan dan agak sukar untuk dia sambung pengajian dalam kursus profesional, jadi pilihan terbaik buatnya ialah dalam bidang kemahiran. Dia berminat juga dalam bidang animasi dan digital, jadi saya datang ke beberapa reruai milik Kementerian Pendidikan untuk bertanya.
"Alhamdulillah, ada juga beberapa kolej swasta yang menawarkan pembiayaan untuk pelajar dari keluarga B40 dan saya berpuas hati dengan penerangan yang diberikan terutama dari Kolej Yayasan Felda kerana menyampaikan tentang kursus yang ada dengan sangat terperinci," katanya yang bekerja sebagai pembantu guru.
Antara kursus yang ditawarkan Kolej Yayasan Felda ialah Diploma Digital Fesyen, Ijazah Program Global Digital Leadership (IT), Diploma Animedia Teknologi 3D, Sijil Video dan Filem (Penggambaran) dan Sijil Pengendalian Dron.

Seorang pengunjung remaja, Afiqah Mat Saari, 14, pula berkata, dia datang ke Jelajah AKM itu bersama lapan adik beradiknya dari Kuala Krai yang mengambil masa dua jam perjalanan kerana tidak mahu ketinggalan menjadi sebahagian Keluarga Malaysia yang hadir ke program tersebut.
"Sebenarnya, dua kakak saya datang ke sini untuk pergi ke Karnival Kerjaya Jamin Kerja sebab dia nak cari pekerjaan baharu. Katanya ada buat permohonan di beberapa syarikat dan mereka akan menghubungi kakak sekiranya layak dalam tempoh terdekat.

"Saya dengan adik beradik lain yang masih bersekolah menengah pula lebih tertarik dengan aplikasi 'virtual reality' (VR) di reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM). Tadi tengok dokumentari mengenai dinasour.
"Memang seronok sangat sebab ini kali pertama saya guna VR untuk tengok video....macam diri kita pun ada di sekeliling kumpulan dinasour tu, saya pun tak tahu berapa banyak kali menjerit takut," katanya yang kagum dengan kecanggihan teknologi tersebut.
Selain reruai K-KOMM, dia turut pergi mencuba aktiviti permainan di reruai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membina robot solar, sama seperti permainan Lego.


"Kami juga pergi ke tapak permainan tradisional dan lihat beberapa demonstrasi canting batik, pertunjukan silat dan pembuatan wau di reruai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya yang turut teruja kerana membawa pulang hadiah selepas berjaya menjawab soalan kuiz dan permainan 'spin the wheel'.
Seorang lagi pengunjung, Ahmad Azmizan Che Wan Mohamad, 36, pula berkata, dia sanggup datang ke Jelajah AKM itu dari Jerteh, Terengganu bersama isteri, Susalina Ibrahim 33 dan kedua ibu bapanya untuk merasai sendiri kemeriahan Jelajah AKM itu.

"Sebenarnya, ketika Terengganu jadi tuan rumah awal Jun lepas, saya tidak berkesempatan untuk pergi. Cuma melihat di Facebook, YouTube dan suratkhabar sahaja mengenai pelbagai manfaat yang diperolehi pengunjung.
"Tapi saya tidak terkilan sangat kerana tahu penganjuran turut diperluaskan di Kelantan. Ia lebih mudah bagi saya kerana jarak Jerteh ke Kota Bharu hanya 60 kilometer, lebih dekat berbanding pemanduan hampir dua jam ke Kuala Terengganu.

"Antara yang menarik perhatian saya ialah reruai di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya yang menyifatkan Jelajah AKM berjaya merapatkan hubungan rakyat dan kerajaan melalui perkongsian aspirasi yang dirancang. - DagangNews.com








